Siti Rohana Idris

Tumpat: Sudah memasuki hari ke-10 banjir, beberapa kampung di Pengkalan Kubor masih digenangi air dan kebanyakan penduduk baru mula melakukan pembersihan kediaman serta premis masing-masing.

Walau air masih bergenang di dalam premis, kerja pembersihan dan membuang segala sampah sarap hasil bawaan air tetap dilakukan malah sudah ada pengunjung yang singgah minum di kedai kopi sambil pemiliknya 'menyental' lantai.

Bagi pemilik kedai kopi di Kampung Bendang Pak Yong, Sani Mamat, 44, kerja pembersihan premisnya baru dimulakan hari ini kerana air mulai surut dan hanya di hadapan kedai sahaja masih bergenang di paras 0.3 meter (m).

Dia berkata, kerja pembersihan memang memenatkan dan biasanya dia mengambil masa sekitar tiga hari untuk menjadikan premisnya bersih kembali dan beroperasi seperti biasa.

"Banyak sampah sarap yang perlu dibuang yang terperangkap dalam kedai kerana bawaan yang memasuki ruang dalam kedai saya sehingga 1.5 m.

"Memandangkan kedai saya turut menjual barangan runcit, urusniaga tetap berjalan walau air memenuhi perkarangan dan orang kampung datang menaiki bot membeli barang terutamanya makanan kering melalui tingkap rumah saya," katanya ketika ditemui di sini, hari ini.

SANI Mamat membuang sampah sarap yang terdapat dalam kedai kopinya di Kampung Bendang Pak Yong hasil bawaan air banjir. FOTO Siti Rohana Idris
SANI Mamat membuang sampah sarap yang terdapat dalam kedai kopinya di Kampung Bendang Pak Yong hasil bawaan air banjir. FOTO Siti Rohana Idris

Sani berkata, pengalaman setiap tahun berdepan dengan banjir menyebabkan di membuat persiapan awal yang mana segala barangan jualan dibawa ke dalam rumahnya yang agak tinggi.

Bagaimanapun bagi peralatan untuk jualan kedai kopi, kebanyakannya dikumpul dalam bekas dan diletakkan dalam ruang premis itu menyebabkan kebanyakannya dipenuhi selut dan rumput rampai yang dibawa air banjir.

"Memang agak penat untuk membersihkan semua kotoran ini dan ia tidak akan siap dalam masa satu hari namun setiap tahun, situasi ini yang sering kami alami," katanya.

Tinjauan yang dibuat di sekitar Kampung Bendang Pak Yong mendapati masih banyak lokasi yang digenangi air dan sampan atau bot belum lagi disimpan kerana 'edah" banjir di Kelantan masih belum tamat.

Bagi Siti Zabidah Abdullah, 59, pula, sejak semalam dia berulang alik dari rumah anak saudaranya yang ditumpanginya sepanjang banjir untuk balik ke rumahnya bagi membersihkan rumah yang dinaiki air mencecah 1 m.

Dia berkata, hari ini dia kembali lagi ke rumahnya untuk membersihkan kedai kopinya yang bersambung dan berhasrat untuk memulakan perniagaan pada lusa sebaik semua sudah dibersihkan.

"Semalam seharian saya mengemas rumah yang dinaiki air dan hari ini pula ruang dalam kedai kopi yang masih lagi digenangi air dan penuh dengan rumput rampai kerana berhampiran sawah padi.

"Sudah dua minggu kedai kopi tidak dapat dibuka disebabkan banjir dan diharapkan lusa sudah boleh berniaga semula sebelum banjir datang kembali yang dijangka 2 Januari nanti," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 28 Disember 2022 @ 2:57 PM