GAMBAR hiasan. FOTO arkib NSTP
GAMBAR hiasan. FOTO arkib NSTP
Amirul Aiman Hamsuddin

Shah Alam: Jabatan Perhutanan Negeri Selangor (JPNS) mengingatkan orang ramai untuk tidak menjalankan sebarang aktiviti rekreasi termasuk mandi-manda dan perkhemahan di kawasan hutan dan Taman Eko Rimba buat sementara waktu.

Ia susulan arahan penutupan semua tempat perkelahan dan perkhemahan di negeri ini selama tujuh hari yang dikeluarkan Pejabat Setiausaha Kerajaan Selangor pada 17 Disember lalu susulan cuaca buruk dan musim tengkujuh.

Pengarahnya, Datuk Ahmad Fadzil Abdul Majid berkata, selain arahan penutupan JPNS turut mengeluarkan Notis Arahan Penutupan Operasi di semua kawasan hutan rekreasi di bawah pengurusan pihaknya.

"Notis ini dikeluarkan sejak Oktober lalu dan masih berkuatkuasa sehingga ke suatu tempoh yang akan dimaklumkan kelak.

"Notis ini juga adalah selaras Seksyen 47, Enakmen (Pemakaian) Akta Perhutanan Negeri Selangor 1985 (Pindaan 2018) iaitu mengenai larangan mana-mana individu memasuki hutan simpan kekal tanpa permit yang sah.

"Sekiranya didapati bersalah, denda tidak melebihi RM 30,000 atau penjara selama tempoh tidak melebihi lima tahun atau kedua-duanya boleh dikenakan di bawah Enakmen Akta Perhutanan Negeri ini," katanya dalam kenyataan, hari ini.

Ahmad Fadzil berkata, orang ramai boleh menghubungi JPNS untuk sebarang urusan dan pertanyaan lanjut dengan segera.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 31 Disember 2022 @ 2:55 PM