BERNAMA

Kuala Kubu Bharu: Seramai 37 individu berjaya diselamatkan selepas dipercayai terperangkap di tapak perkhemahan berhampiran sebuah ladang organik di Father's Organic Farm, Gohtong Jaya, Genting Highland, Pahang, ekoran tanah runtuh awal pagi ini.

Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Selangor Datuk Norazam Khamis berkata, bomba menerima panggilan kecemasan pada 2.24 pagi ini dan tiba di lokasi kejadian kira-kira 3 pagi.

Susulan itu, sepasukan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP), Kuala Kubu Bharu, BBP Rawang, BBP Genting Highlands, BBP Sentosa, BBP Ampang, BBP Pandan, BBP Kota Anggerik, BBP Kajang, BBP Andalas dikerahkan ke lokasi.

Beliau berkata, tanah runtuh berketinggian 30 meter berhampiran ladang organik itu menghempap tapak perkhemahan yang berdekatan dengan jalan.

"Maklumat awal pihak polis terdapat 100 orang yang berada di tapak perkhemahan itu yang berkemungkinan menjadi mangsa runtuhan.

"Ketika ini misi mencari dan menyelamat mangsa sedang giat dilaksanakan bersama pasukan STORM," katanya ketika dihubungi Bernama hari ini.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 16 Disember 2022 @ 8:07 AM