GAMBAR hiasan
GAMBAR hiasan
Muhammad Apendy Issahak


MAYAT lelaki ditemui di lereng bukit kawasan hutan berhampiran kebun sawit di Kampung Sungai Lah, Chenderiang di Tapah, petang kelmarin dalam keadaan bahagian kepala hanya tinggal tengkorak dan badan masih berisi, namun sudah berulat serta mereput.

Lelaki tanpa sebarang dokumen pengenalan diri yang dianggar berusia 20 hingga 30-an itu ditemui orang awam di kawasan berkenaan sebelum memaklumkan kepada polis kira-kira 5 petang.

Ketua Polis Daerah Tapah, Superintendan Wan Azharuddin Wan Ismail berkata, anggota polis yang bertugas di kaunter Aduan Balai Polis Chenderiang menerima maklumat dari orang awam melalui telefon mengatakan ada bau busuk di kawasan hutan berdekatan kebun sawit di Kampung Sungai Lah, yang disyaki bau mayat.

“Laporan itu dijadikan sebagai maklumat pertama untuk siasatan lanjut dan sepasukan polis ke lokasi bagi menjalankan siasatan.

“Hasil siasatan menjumpai mayat di kawasan lereng bukit hutan kebun sawit yang tidak diusahakan di kampung berkenaan,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Menurutnya, jarak antara mayat dengan jalan utama lebih kurang 2 kilometer dalam hutan sawit dan tiada sebarang penempatan atau rumah kongsi di kawasan sekitar.

“Jalan ke tempat mayat dijumpai juga hanya boleh dilalui dengan cara berjalan kaki kerana keadaan berbukit.

“Keadaan fizikal mayat yang mana bahagian kepala hanya tinggal tengkorak, manakala bahagian bawah badan masih berisi dan berulat serta mayat berkenaan hampir reput,” katanya.

Wan Azharuddin berkata, mayat berkenaan ketika ditemui masih dalam keadaan berpakaian lengkap dan dibalut dengan karpet berwarna merah dengan dianggarkan umur lelaki terbabit dalam lingkungan lebih kurang 20-30 tahun.

“Tiada sebarang pengenalan diri ditemui pada mayat atau kawasan sekitar.

“Mayat dihantar ke Hospital Tapah sebelum di pindahkan ke Hospital Raja Permaisuri Bainum (HRPB) Ipoh untuk dibedah siasat yang akan dibuat pada hari ini (2 Mei) bagi mengetahui punca kematian,” katanya.

Menurutnya, setakat ini siasatan dibuat mengikut kematian mengejut (SDR) sehingga punca kematian diperoleh.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 2 Mei 2019 @ 12:04 AM