Zatul Iffah Zolkiply


Kuala Terengganu: Buruh binaan dijatuhi hukuman penjara lapan tahun dan empat sebatan oleh Mahkamah Sesyen di sini, hari ini, atas tuduhan meliwat dan melakukan seks oral terhadap anak perempuannya yang berusia tujuh tahun.

Hakim Nooriah Osman membuat keputusan itu selepas tertuduh yang berusia 45 tahun itu mengaku bersalah terhadap dua pertuduhan berkenaan.

Mengikut pertuduhan pertama dan kedua, tertuduh didakwa dengan sengaja melakukan persetubuhan yang bertentangan dengan aturan tabii tanpa kerelaan terhadap mangsa yang ketika kejadian berusia tujuh tahun.

Tertuduh didakwa melakukan kesalahan itu sebuah rumah di Dungun antara 1 Disember 2020 hingga 30 Januari 2021.

Bagi setiap kesalahan itu, tertuduh didakwa mengikut Seksyen 377C Kanun Keseksaan.

Sejurus pengakuan bersalah tertuduh direkodkan, mahkamah menjatuhkan hukuman penjara lapan tahun dan dua sebatan bagi setiap pertuduhan.

Mahkamah mengarahkan hukuman penjara berjalan serentak bermula daripada tarikh tertuduh ditangkap iaitu pada 15 April 2021.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Intan Nor Hilwani Mat Rifin manakala tertuduh diwakili peguam dari Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan (YBGK), Nik Ismail Nik Lah.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 12 Disember 2022 @ 4:25 PM