KRISTY menerima Anugerah Pelajaran Diraja pada Majlis Konvokesyen UMS kali ke-24. Gambar kanan tangkap layar video nyanyiannya yang tular di media sosial, sejak semalam. FOTO tular.
KRISTY menerima Anugerah Pelajaran Diraja pada Majlis Konvokesyen UMS kali ke-24. Gambar kanan tangkap layar video nyanyiannya yang tular di media sosial, sejak semalam. FOTO tular.
Juwan Riduan


Kota Kinabalu: Penerima Anugerah Pelajaran Diraja Universiti Malaysia Sabah (UMS) berjaya menawan hati hadirin dengan alunan suara merdunya yang menjadi tular di media sosial.

Kristy Samunting, 23, menutup ucapan selaku penerima anugerah pada Majlis Konvokesyen UMS kali ke-24 dengan menyanyikan lagu 'Memori Tercipta' yang dipopularkan oleh Shila Amzah.

Video berdurasi satu minit itu mencapai lebih 233,000 tontonan dengan ramai yang memuji suara anak kelahiran Sabah itu.

Lebih menarik lagi, Kristy adalah graduan Ijazah Sarjana Muda Akademi Seni dan Teknologi Kreatif (ASTiF) yang pertama menerima anugerah berkenaan.

"Saya tidak menyangka akan menerima anugerah berkenaan dan beranggapan anugerah seperti ini biasanya akan disandang pelajar dalam bidang sains, kejuruteraan, ekonomi, akaun dan sebagainya.

"Saya terharu dan bangga atas kejayaan diri saya sekarang serta sangat bersyukur kepada Tuhan," katanya ketika ditemui selepas Majlis Konvokesyen UMS kali ke-24 di Dewan Canselor, semalam.

Menceritakan kembali perjalanan yang membawanya ke tahap ini, beliau berkata, minat terhadap seni muzik sudah wujud sejak dulu lagi.

Katanya, ibunya menyedari perkara itu sejak dia masih kecil kerana sering melihatnya menyanyi di hadapan televisyen setiap kali hiburan muzik berlangsung.

Dia merasa sangat bersyukur kerana pilihan untuk terus bergiat aktif dan mengejar cita-cita dalam dunia seni muzik adalah tepat.

"Jurusan saya sebelum ini adalah sains dan pernah bercita-cita untuk menjadi peguam ataupun arkitek.

"Namun, saya menyedari bakat yang ada dalam diri dan mengambil keputusan untuk meneruskannya dalam bidang seni.

"Saya mahu buktikan kepada orang ramai, walaupun mengambil seni muzik bukan bermakna hanya mampu menjadi artis saja, namun ada lebih banyak cabang lagi kita mampu lakukan dalam dunia seni ini," katanya.

Tidak mensia-siakan masa yang terluang, Kristy berkata, ketika masih berstatus pelajar, dia turut melakukan kerja separuh masa sebagai seorang guru vokal secara dalam talian.

Bagaimanapun, katanya dia juga tidak lupa untuk melakukan tugasan dan praktis setiap hari kerana program ini memerlukan latihan yang banyak di samping membaca bahan-bahan melalui e-book.

"Selepas ini saya akan ke Singapore kerana mendapat tawaran bekerja di Aureus Academy dan akan mula bekerja pada Januari nanti," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 11 Disember 2022 @ 7:30 PM