Syaherah Mustafa

Kota Bharu: Jumlah mangsa banjir di daerah Pasir Mas menunjukkan peningkatan dengan catatan semasa seramai 519 mangsa membabitkan 168 keluarga di tiga pusat pemindahan sementara (PPS) di jajahan berkenaan.

Menurut laman web infobencanajkmv2.jkm.gov.my, setakat jam 2 petang, hari ini, tiga PPS yang dibuka ialah di Sekolah Kebangsaan (SK) Gual To'Deh, SK Kubang Kual dan Kampung Putat Tujuh, Rantau Panjang.

Pengarah Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Kelantan, Said Sidup berkata, urusan pendaftaran mangsa di PPS berjalan lancar, dengan pegawai dan kakitangan JKM ditempatkan di setiap lokasi untuk membantu pengurusan di setiap pusat pemindahan.

"Kami akan memastikan semua mangsa membuat pendaftaran sebelum dibenarkan berada di PPS. Malah, penyediaan makanan juga dipastikan agar berjalan lancar dan mencukupi.

"Alhamdulillah, hasil daripada kursus dan program persediaan banjir sebelum ini, setiap kakitangan JKM dapat menjalankan tugas dengan baik untuk membantu mangsa banjir kali ini.

"Petugas di PPS juga mendapat kerjasama baik daripada mangsa sekali gus melancarkan urusan untuk susun atur kedudukan khemah supaya lebih teratur dan terkawal," katanya ketika dihubungi, hari ini.

MANGSA banjir yang ditempatkan di PPS SK Gual To’Deh. FOTO Nik Abdullah Nik Omar
MANGSA banjir yang ditempatkan di PPS SK Gual To’Deh. FOTO Nik Abdullah Nik Omar

Said berkata, sebelum ini sebuah PPS turut dibuka di Kota Bharu, namun sudah ditutup kerana banjir semakin reda dan hanya daerah Pasir Mas yang kini menunjukkan peningkatan mangsa.

"Kami di JKM sentiasa bersedia untuk membantu, selain turut memohon kerjasama mangsa untuk bersabar dalam berhadapan dengan musibah banjir bagi mengelak sebarang insiden yang tidak diingini berlaku di PPS.

"Walaupun terpaksa berhadapan pelbagai ragam mangsa banjir, namun Alhamdulillah, setakat ini semuanya dilaporkan berjalan dengan baik.

"Kerjasama baik dengan agensi lain seperti Jabatan Bomba dan Penyelamat (JBPM) dan Angkatan Pertahanan Awam (APM) juga turut membantu melancarkan urusan JKM dalam membantu mangsa banjir," katanya.

Menurutnya, golongan warga emas, orang kurang upaya (OKU) dan anak kecil turut diutamakan untuk dibantu dan ditempatkan di PPS.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 11 Disember 2022 @ 2:40 PM