MARIA Chokan (kanan) bersama Stella Niut (tengah) dan Belinda Serey (kiri) menghasilkan kraf tangan tradisional Sarawak untuk dijual kepada pelanggan. FOTO Norsyazwani Nasri
MARIA Chokan (kanan) bersama Stella Niut (tengah) dan Belinda Serey (kiri) menghasilkan kraf tangan tradisional Sarawak untuk dijual kepada pelanggan. FOTO Norsyazwani Nasri
Norsyazwani Nasri

Kuching: Bertekad mahu terus menghidupkan warisan nenek moyang, tiga sahabat gigih mengusahakan seni kraf tangan tradisional di Sarawak.

Mereka ialah Maria Chokan,47, berketurunan Iban berasal dari Kuala Balingian, Mukah, yang sudah tujuh tahun membabitkan diri dalam seni kraf tangan.

Dua lagi rakannya yang turut menjadikan seni kraf tangan sebagai perusahaan ialah Stella Niut, 54, berketurunan Iban berasal dari rumah panjang Babu Sedebau, Debak serta Belinda Serey, 61, berketurunan Bidayuh berasal dari Kampung Giam, Padawan.

Maria berkata, tidak mahu melihat seni kraf tangan yang diwarisi daripada nenek moyang terdahulu lenyap ditelan zaman mereka bertiga bergabung membuka perniagaan menghasilkan seni kraf tangan dengan menyewa tapak perniagaan di dalam bangunan pusat beli belah City One.

"Antara kraf tangan yang kami hasilkan ialah tango moden, rantai, gelang dan anting-anting yang bermotifkan budaya Sarawak.

"Misalnya, tango moden diperbuat daripada manik dan dihiasi bebola kain bagi tujuan menutup dada atau baju kecil dan kemban," katanya ketika ditemui di sini, hari ini.

Menjelas lanjut, katanya, gubahan itu sudah menjadi warisan turun temurun dalam kalangan masyarakat Iban di Sarawak.

"Corak tango ini dihiasi mengikut kemahuan masing masing. Hasil kerja manik, warna yang digunakan dan reka bentuknya dapat membezakan etnik Iban dari etnik lain dengan mudah.

"Tempoh menyiapkan kraf tangan yang dihasilkan bergantung kepada reka bentuk yang dihasilkan, ada yang mengambil masa antara sehari hingga dua hari untuk disiapkan," katanya.

Menurutnya, bagi memberi dorongan dan galakan, mereka dibimbing Majlis Kraftangan Sarawak dan Kraftangan Malaysia.

"Selain menjalankan perniagaan di tapak perniagaan sedia yang dibuka mulai jam 10 pagi hingga 9 malam setiap hari kami juga menyertai festival dan persidangan yang dianjurkan Majlis Kraftangan Sarawak dalam usaha mempromosikan produk yang dihasilkan.

"Kami bersyukur kerana berputik daripada minat kami dapat membantu keluarga menambah pendapatan melalui hasil jualan kraf tangan ini sekitar RM 100 hingga RM 200 sehari," katanya.

Katanya, perniagaan kraf tangan yang mereka juga mendapat sambutan menggalakkan daripada pelancong, selain masyarakat tempatan.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 11 Disember 2022 @ 11:51 AM