Hayati Ibrahim

Kuala Lumpur: Jika tahun lalu, Menteri Kewangan Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz menggunakan beg diperbuat daripada anyaman buluh dan kanvas kapas yang dihasilkan usahawan kraf berketurunan Dusun untuk mengisi dokumen Bajet 2022.

Tahun ini, Tengku Zafrul memilih beg yang dihasilkan penenun dari Rumah Tanoti, sebuah perusahaan sosial di Kuching, Sarawak untuk membawa dokumen penting itu pada tahun ini.

"Corak tenunan songket pada beg ini melambangkan enam suku kaum utama di Sarawak, iaitu Orang Ulu, Melayu, Bidayuh, Iban, Melanau dan Cina.

"Kepelbagaian motif itu bergabung untuk menghasilkan beg yang menarik ini. Sama juga dengan kepelbagaian latar belakang kita di Malaysia, jika digarap dan digabung akan membentuk Keluarga Malaysia yang kukuh dan harmoni.

"Kami berharap Bajet 2023 ini sedikit sebanyak dapat menyumbang kepada mengeratkan talian antara ahli Keluarga Malaysia, membantu semua yang perlu dan menyumbang kepada kesejahteraan dan kemakmuran negara," katanya ketika berucap pada pembentangan Bajet 2023 di Dewan Rakyat, di sini, hari ini.

Tengku Zafrul yang segak berbaju Melayu berwarna biru firus lengkap bersamping turut memaklumkan sapu tangan batik yang digunakan semalam juga hasil tangan usahawan wanita di Program Perumahan Rakyat (PPR).

Bajet 2023 bertemakan 'Keluarga Malaysia Makmur Bersama' adalah pembentangan kali ketiga bagi Tengku Zafrul selepas Bajet 2021 dan Bajet 2022.

TENGKU Zafrul (tengah) menunjukkan beg bimbit tenun berisi buku ucapan Bajet 2023. FOTO Eizairi Shamsudin.
TENGKU Zafrul (tengah) menunjukkan beg bimbit tenun berisi buku ucapan Bajet 2023. FOTO Eizairi Shamsudin.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 7 Oktober 2022 @ 7:20 PM