AL-SULTAN Abdullah dan Tunku Azizah berkenan mencemar duli ke Gerai Jualan & Pameran Kraftangan di Miri Handicraft Centre. FOTO Bernama
AL-SULTAN Abdullah dan Tunku Azizah berkenan mencemar duli ke Gerai Jualan & Pameran Kraftangan di Miri Handicraft Centre. FOTO Bernama
BERNAMA

Miri: Lawatan sulung Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah dan Raja Permaisuri Agong Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah ke Pusat Kraftangan Miri dan Coco Cabana sempena Kembara Kenali Borneo memberi pengiktirafan kepada kraf tangan Bumi Kenyalang.

Tambahan pula, Tunku Azizah dikenali sebagai ikon kraf dunia dan sering kali mempromosikan warisan serta khazanah kraf tangan tanah air di peringkat antarabangsa.

Menurut Residen Bahagian Miri Jamalie Busri, Pusat Kraftangan Miri yang dirasmikan pada 2001 bukan sahaja menjadi tarikan pelancongan di wilayah utara negeri ini, malah membantu usaha memulihara kepelbagaian warisan, budaya dan etnik Sarawak.

"Secara keseluruhan, 13 gerai menjual pelbagai produk kraf tangan seperti bakul anyaman dan manik disediakan di kompleks ini, selain gerai menjual hidangan tradisi etnik dan subetnik 'Anak Sarawak' yang tentunya mampu menarik perhatian pelancong asing.

"Pembinaan pusat kraf tangan ini satu usaha menyemarakkan lagi pertumbuhan industri pelancongan negeri, seiring kedudukan bandar raya Miri sebagai pintu masuk utama di wilayah utara Sarawak," katanya kepada Bernama.

Dalam pada itu, Jamalie berkata galeri serta demonstrasi pembuatan produk Bumi Kenyalang, batik linut di Coco Cabana menjadi lokasi terbaik untuk mempromosikan warisan berkenaan semasa lawatan Al-Sultan Abdullah dan Tunku Azizah.

"Di Coco Cabana terdapat aktiviti seperti gerai jualan dan pameran kraf tangan, gerai jualan produk tempatan seperti beras Bario, garam Bario, lada Bario, sarang burung, madu kelulut dan Galeri Batik Linut," katanya.

Merupakan bandar kedua terbesar di Sarawak, Miri mempunyai 356,900 penduduk (Jabatan Perangkaan, 2020) dan dilimpahi dengan kekayaan sumber alam semula jadi yang turut dikenali sebagai bandar minyak.

Selain itu, bandar berkenaan sering kali menjadi tumpuan pengunjung dalam dan luar negara untuk mencari buah tangan produk kraf tangan Iban, Bidayuh, Kelabit, Kayan, Kenyah dan Penan, sekali gus menjadikannya antara destinasi wajib singgah di Sarawak.

Seri Paduka berdua berangkat tiba di Pusat Kraftangan Miri yang terletak kira-kira 29 kilometer dari Kompleks Imigresen, Kastam, Kuarantin dan Keselamatan (ICQS) Sungai Tujoh, Miri, sebelum meneruskan perjalanan ke Coco Cabana.

Turut berangkat, Pemangku Raja Pahang Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah.

Pasangan Diraja itu turut berkenan menandatangani plak Kembara Kenali Borneo, selain menyaksikan demonstrasi anyaman bakul dan manik serta melawat gerai jualan kraf tangan di Pusat Kraftangan Miri.

Turut hadir di pusat kraf tangan berkenaan, Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya Datuk Seri Tiong King Sing serta Timbalan Menteri Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan Sarawak Datuk Sebastian Ting Chiew Yew.

Kembara Kenali Borneo dari 3 hingga 13 September bermula di Tawau, Sabah dan berakhir di Telok Melano, Sarawak sejauh 2,154 kilometer menelusuri Lebuhraya Pan Borneo yang menghubungkan Sabah, Sarawak serta Brunei.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 9 September 2023 @ 5:01 PM