Oleh Ayusliza Azizan

Shah Alam: Graduan Diploma Fotografi Universiti Teknologi MARA (UiTM) diminta membuat permohonan maaf secara rasmi kepada universiti jika mahu skrol Diploma diperoleh.

Naib Canselornya, Tan Sri Prof Dr Sahol Hamid Abu Bakar berkata, gelagat graduan itu, Muhammad Hasrul Haris Mohd Radzi, 21, mengambil gambar ‘selfie’ bersama Pro Canselor UiTM Tan Sri Arshad Ayub dalam sesi konvokesyen pada minggu lalu di UiTM cawangan Lendu, Melaka dianggap mencemar peraturan istiadat.

“Buat masa ini universiti berhak menarik balik diplomanya kerana dia melanggar peraturan istiadat.

“Sekiranya permohonan maaf dibuat, barulah universiti memberi kembali skrol diploma yang rasmi,” kata Sahol, semalam, di Istiadat Konvokesyen UiTM Ke-82 di Dewan Agong Tuanku Canselor (DATC).

Tambah Sahol, tindakan graduan itu disifatkan memalukan.

Graduan berkenaan digantung untuk tempoh antara setahun atau dua oleh UiTM selepas gambar ‘selfie’ menjadi viral di media sosial, disedari pengurusan.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 18 Mei 2015 @ 7:41 AM