ALLAHYARHAM Tun Arshad Ayub. FOTO IHSAN NEGARA
ALLAHYARHAM Tun Arshad Ayub. FOTO IHSAN NEGARA
Norzamira Che Noh


Shah Alam: Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah menzahirkan ucapan takziah atas pemergian tokoh pendidikan negara, Tun Arshad Ayub, 93, yang menghembuskan nafas terakhir, hari ini.

Baginda adalah Canselor Universiti Teknologi MARA (UiTM) turut menzahirkan dukacita dengan bertitah Allahyarham adalah seorang tokoh dan negarawan yang bertanggungjawab sebagai arkitek penubuhan UiTM yang kini terkenal di seluruh negara sebagai gedung modal insan pribumi yang teragung di Malaysia.

"Kehilangan beliau sangat dirasai oleh negara dan khususnya UiTM.

"Semoga segala jasa dan pengorbanan beliau dibalas dengan ganjaran pahala yang berlipat ganda dari Allah. Semoga roh beliau ditempatkan di kalangan para solihin," titah baginda pada Istiadat Konvokesyen ke-93 UiTM, hari ini.

Allahyarham Arshad menghembuskan nafas terakhir di hospital pada jam 2.06 pagi tadi.

Difahamkan, Arshad dimasukkan ke unit rawatan rapi (ICU) sejak Selasa lalu berikutan masalah kesihatan dan dilaporkan dalam keadaan tenat.

Allahyarham adalah pengarah pertama Institut Teknologi MARA (ITM) sejak 1967 sehingga 1975 sebelum dikenali sebagai UiTM.

Sementara itu, Naib Canselor UiTM Profesor Datuk Dr Roziah Mohd Janor dan seluruh warga UiTM turut menzahirkan rasa dukacita dan ucapan takziah kepada keluarga Allahyarham atas pemergian Allahyarham.

Roziah menerusi satu kenyataan memaklumkan Tun Arsyad adalah seorang pemimpin yang banyak berjasa kepada pendidikan negara.

"Salam takziah kepada isteri Allahyarham Toh Puan Zaleha Mohd Arshad dan keluarga.

"Semoga Allah SWT mencucuri rahmat ke atas Allahyarham dan semoga rohnya ditempatkan dalam kalangan orang-orang yang beriman serta beramal soleh", katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 14 Jun 2022 @ 1:20 PM