MOHD Nizam terima ciuman tahniah daripada isteri, Hazleen Aziz (kanan) dan anak sulung, Nureen Hannah.
MOHD Nizam terima ciuman tahniah daripada isteri, Hazleen Aziz (kanan) dan anak sulung, Nureen Hannah.
Oleh Mohd Hasbi Sidek

Shah Alam: Pengalaman 20 tahun bekerja dalam bidang pengiklanan menjadi rahsia kejayaan seorang graduan Ijazah Sarjana Seni Halus dan Teknologi dari Universiti Teknologi Mara (UiTM) memperoleh Purata Nilai Gred Kumulatif (CGPA) 4.0.

Kejayaan itu sekali gus membolehkan Mohd Nizam Rahmat, 47, dari Fakulti Seni Lukis dan Seni Reka mendapat Anugerah Naib Canselor (ANC) pada Istiadat Konvokesyen ke-81 UiTM yang berlangsung di Dewan Agong Tuanku Canselor (DATC) di sini, semalam.

Bapa kepada tiga anak itu berkata, pengalamannya ketika bekerja menjadi kelebihan sehingga dia berjaya menggenggam segulung ijazah sarjana.

“Berbeza dengan penuntut yang tidak mempunyai pengalaman kerja, saya tahu perkara yang perlu saya tekankan dan tahu cara menguruskan setiap tugasan diberikan pensyarah.

“Pengalaman dimiliki membuatkan saya lebih yakin serta tidak terkial-kial untuk menyiapkan tesis malah kenalan di tempat kerja juga sedikit sebanyak membantu memberikan pandangan mereka,” katanya ketika ditemui, semalam.

Anak kelahiran Johor Bharu itu berkata, dia beruntung kerana isteri serta anaknya memahami situasi dilalui sepanjang melanjutkan pengajian itu.

“Malah mereka memberi dorongan serta pandangan yang membuatkan saya lebih bersemangat untuk meneruskan pengajian ini,” katanya.

Pada istiadat konvokesyen pagi semalam, seramai 988 graduan menerima ijazah sarjana disampaikan Pro Canselor UiTM, Tan Sri Dr Arshad Ayub.

Turut berkongsi kegembiraan adalah pengacara dan penyampai radio terkenal Jimmy Shanley yang menerima Ijazah Sarjana Pengurusan Perniagaan (MBA).

Jimmy atau nama sebenarnya Jimmy Shanley Norjahan Salleh, 34, berkata, dia bercita-cita mahu menjadi pensyarah di UiTM kerana mahu membalas balik jasa dicurahkan pendidik institusi berkenaan kepadanya.

“Jika diberi peluang, saya mahu menabur kembali bakti kepada UiTM yang selama ini banyak berjasa bukan saja kepada saya tetapi juga kepada banyak graduan di negara ini yang melahirkan masyarakat yang berpendidikan dalam pelbagai bidang,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 24 November 2014 @ 5:13 AM