LUM Kien Seng mula aktif menderma sejak berusia 36 tahun pada 1988. FOTO Facebook Pusat Darah Negara Kementerian Kesihatan Malaysia
LUM Kien Seng mula aktif menderma sejak berusia 36 tahun pada 1988. FOTO Facebook Pusat Darah Negara Kementerian Kesihatan Malaysia
BERNAMA

Kuala Lumpur: Selepas 356 kali menderma darah, Lum Kien Seng, 70, akhirnya terpaksa akur mengucapkan selamat tinggal kepada rutin itu atas faktor usia.

Kali terakhir menderma pada 2 Disember lepas, bekas pendidik itu melahirkan rasa bangga kerana berpeluang menabur bakti membantu menyelamatkan nyawa pelbagai bangsa, sejak 34 tahun lepas.

"Kalau ikutkan hati, saya mahu terus menderma. Tapi, apa boleh buat, dah cukup waktunya apabila had usia maksimum untuk menderma darah adalah 70 tahun. Lepas ini, saya hanya berehat di rumah sambil mendengar lagu dan menanam bunga.

"Saya galakkan mereka yang mempunyai tubuh badan sihat, pergilah menderma darah. Jangan takut jarum, rasanya macam kena gigit semut sahaja. Seeloknya, tenangkan diri dan jika terlalu takut, alihkan perhatian," katanya kepada Bernama.

Mengimbas semula, beliau mula aktif menderma sejak berusia 36 tahun pada 1988 selepas melihat sendiri bapanya, mendiang Lum Yong Swee mengalami kecederaan sehingga memerlukan bekalan darah.

Sejak itu, anak jati Kuala Lumpur ini tidak pernah melepaskan peluang menderma darah sebagai menunaikan tanggungjawab sosialnya kepada masyarakat.

"Bapa saya ada penyakit jantung dan darah tinggi serta perlu ambil ubat cair darah. Namun, tanpa sengaja bapa tercedera dan luka itu menyebabkan darahnya terus mengalir tanpa henti.

"Kecederaan itu menyebabkannya hilang darah dan memerlukan dua beg darah. Apabila saya melihat situasi itu, saya terbuka hati untuk menderma darah kerana ia membantu menyelamatkan nyawa pesakit," katanya yang turut menjadi penderma aferesis sejak 2000.

Lulusan Universiti Pertanian Malaysia (kini Universiti Putra Malaysia) itu mengakui menjadi penderma darah dan aferesis membuatkan dirinya berasa sihat dan terkawal dalam soal gaya hidup sekali gus membentuk gaya hidup sihat.

"Untuk menjadi penderma, seseorang itu perlu mempunyai tubuh badan yang sihat dan paling penting mesti cukup tidur, sekurang-kurangnya lima jam.

"Saya juga sangat mementingkan kesihatan. Selain menjaga pemakanan, saya juga melakukan senaman ringan seperti berjalan kaki di kawasan perumahan serta mengelakkan diri daripada mengambil minuman beralkohol dan menghisap rokok," katanya.

Pun begitu, anak keempat daripada enam beradik ini perlu menjalani pemeriksaan kesihatan berkala seperti ujian imbasan X-ray, Electrocardiogram (ECG) dan ujian darah bagi membolehkannya terus menjadi penderma, ketika usianya mencecah 50 tahun.

"Saya bersyukur dikurniakan kesihatan yang baik dan tidak mengalami sebarang masalah setiap kali menderma darah, tubuh juga rasa sihat selepas menderma," katanya yang menetap di Taman Bukit Maluri, Kepong.

Lum juga diraikan warga Pusat Darah Negara (PDN) yang merakamkan setinggi penghargaan dan jutaan terima kasih atas pengorbanannya dalam menjalankan tanggungjawab sosial tanpa mengharapkan sebarang balasan selepas kali terakhir menderma pada 2 Disember lepas.

"Semoga pendermaan darah terakhir dan sambutan hari lahir yang ke-70 ini menjadi memori indah sekali gus memberi inspirasi kepada generasi muda untuk kekal sihat seterusnya menjadi adiwira darah sehingga ke usia emas.

"Terima kasih Encik Lum Kien Seng. Semoga diberikan kesihatan yang baik dan sentiasa bahagia atas segala amalan baik yang telah anda lakukan," menurut PDN.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 9 Disember 2022 @ 9:36 AM