Sudirman Mohd Tahir


Kuala Lumpur: Pelakon Azhan Rani mengakui menjadi penderma darah aferesis atau penderma aktif menjadikan dirinya sihat dan terkawal dalam soal gaya hidup.

Azhan yang mula menderma darah sejak 2010 berkata, menerusi aktiviti itu dia dapat membentuk gaya hidup sihat. 

"Tanpa gaya hidup sihat kita tak boleh derma darah. Dari segi amalan, pergaulan, pemakanan, seks bebas, pengambilan alkohol dan dadah semuanya tidak dibenarkan untuk menderma darah. 

"Jadi, saya boleh tahu kondisi badan saya melalui derma darah dengan baik. Walaupun sudah 35 kali atau lebih lagi selepas ini, setiap kali nak menderma darah saya perlu jalani proses sama yang mana kena buat ujian darah, temubual dan perlu jawab soalan-soalan lazim.

"Kalau ikutkan saya bermula sejak 2010, tapi saya berhenti beberapa tahun. Kemudian kembali aktif dan sehingga hari ini menjadi penderma aferesis yang mana layak menderma dua minggu  sekali sejak 2016. Jika dihitung, sudah 35 kali saya menderma darah. Untuk menjadi penderma darah seperti ini, terlebih dahulu perlu menjadi penderma darah 'whole blood' selama tiga bulan sekali dengan kekerapan tiga kali berturut-turut," katanya.

Azhan yang ditemui di Pusat Darah Negara (PDN) bersama rakan pendaki Summit Attack Resources di sini berkata, kesedaran melakukan aktiviti itu timbul ketika menjaga Allahyarham bapanya di hospital.

"Mungkin kerana pengalaman sendiri pernah duduk di hospital selama berbulan-bulan menjaga arwah ayah. Saya melihat banyak keadaan pesakit. Ada yang kritikal di Unit Rawatan Rapi (ICU) sehingga tiada bekalan darah. 

"Pada masa itu baru saya tahu bukan semua orang boleh derma darah dalam masa sama. Walaupun kita nampak sihat, apabila disaring mungkin darah tak sesuai. Mungkin juga gaya hidup kita tak sesuai. Sejak itu lahir rasa tanggungjawab iaitu kenapa saya yang sihat tak boleh derma darah," katanya.

Berkongsi mengenai aktiviti yang diadakan itu, Azhan berkata, dia tidak menjangka apabila hebahannya itu mendapat sambutan.

"Program ini menggalakkan kumpulan pendaki Summit Attack Resources yang saya selalu sertai yang mana ini adalah aktiviti pertama menderma darah. Ini sebagai tanggungjawab sosial dan asalnya saya selalu derma sendirian. 

"Apabila terbaca permintaan daripada PDN di mana mereka dalam keadaan kritikal dan perlukan bekalan darah, jadi saya suarakan kepada ketua kami. Dia cuba sampaikan kepada ahli. Tidak menjangka ramai yang berminat. 

"Daripada sasaran awal 10 orang, tapi 30 orang yang nak sertai. Semua ini dalam kalangan kumpulan pendaki ini saja. Malah, ada juga rakan artis yang berminat nak buat seperti Pablo Amirul dan Zarina Zainuddin," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 23 January 2021 @ 6:34 PM
Pelakon, Azhan Rani memantau para peserta yang menderma darah di Program Menderma Darah Bersama Azhan Rani anjuran Summit Attack Resources dan Pusat Darah Negara di Pusat Darah Negara. FOTO EIZAIRI SHAMSUDIN
Pelakon, Azhan Rani memantau para peserta yang menderma darah di Program Menderma Darah Bersama Azhan Rani anjuran Summit Attack Resources dan Pusat Darah Negara di Pusat Darah Negara. FOTO EIZAIRI SHAMSUDIN