Zatul Iffah Zolkiply


Kuala Terengganu: Juruteknik dijatuhi hukuman penjara enam bulan di Mahkamah Majistret di sini, hari ini atas pertuduhan melakukan ugutan untuk menyebarkan gambar bogel bekas teman wanitanya, Januari lalu.

Majistret Noor Mazrinie Mahmood membuat keputusan itu selepas tertuduh, Wan Azuan W. Ismail, 29, mengaku salah terhadap pertuduhan itu.

Mengikut pertuduhan, tertuduh didakwa melakukan ugutan jenayah terhadap mangsa yang berusia 22 tahun melalui telefon dengan mengugut mahu menyebarkan gambar bogelnya.

Tertuduh didakwa melakukan kesalahan itu di sebuah rumah di Kuala Ibai di sini, jam 7.48 pagi pada 25 Januari lalu.

Bagi kesalahan itu, tertuduh yang didakwa mengikut Seksyen 507 Kanun Keseksaan berdepan hukuman penjara sehingga dua tahun, jika sabit kesalahan.

Mahkamah mengarahkan hukuman penjara bermula daripada tarikh tertuduh ditangkap iaitu pada 15 Oktober lalu.

Pendakwaan dikendalikan Pegawai Pendakwa Inspektor Khairi Mohamed Noor manakala tertuduh tidak diwakili peguam.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 8 Disember 2022 @ 4:21 PM