FOTO Hiasan
FOTO Hiasan
Zatul Iffah Zolkiply


DUA beradik dihukum denda RM6,000 dan RM1,500 di Mahkamah Majistret di Kuala Terengganu, hari ini atas tuduhan mencederakan dan mengugut jiran yang dikatakan menetak kaki lembu milik mereka.

Bukan itu sahaja, tertuduh, Aiman Asyraf Zaki, 25, dan adiknya, Arman Arif, 23, masing-masing berdepan hukuman penjara 10 bulan dan dua bulan penjara jika gagal menjelaskan denda berkenaan.

Terdahulu, Majistret Noor Mazrinie Mahmood menjatuhkan hukuman terhadap Aiman Asyraf yang mengaku salah terhadap pertuduhan mengikut Seksyen 324 Kanun Keseksaan kerana dengan sengaja menyebabkan cedera menggunakan senjata atau lain-lain benda berbahaya dan Seksyen 506 kanun sama kerana melakukan ugutan jenayah.

Mengikut pertuduhan, dia didakwa dengan sengaja mendatangkan kecederaan menggunakan sebatang kayu terhadap Mohamad Zubir Jusoh, 31, di Lorong Gagak Durian Burung, Kuala Terengganu pada 3.30 petang, 25 Julai lalu.

Selain itu, Aiman Asyraf turut didakwa melakukan ugutan jenayah terhadap mangsa sama di lokasi, waktu dan tarikh sama.

Bagi setiap kesalahan itu, Noor Mazrinie menjatuhkan hukuman denda RM3,000 atau lima bulan penjara jika gagal menjelaskan denda berkenaan.

Sementara itu, dalam prosiding berasingan di hadapan Majistret Abdul Hayyi Salim, Arman Arif didakwa dengan sengaja menyebabkan kecederaan terhadap mangsa sama di lokasi, waktu dan tarikh sama.

Kesalahan didakwa mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan dan Abdul Hayyi menjatuhkan hukuman denda RM1,500 atau dua bulan penjara jika gagal menjelaskan denda berkenaan.

Pendakwaan dijalankan Pegawai Pendakwa Asisten Superintendan L Rathna dan Asisten Superintendan Mohd Ridhuan Mohina Din manakala, tertuduh diwakili peguam Mohd Hayyatuddin Muhamad dan Che Amir Che Musa.

Mengikut fakta kes, mangsa yang baru pulang dari rumahnya selepas mengambil anak di sekolah didatangi dua tertuduh yang menuduh dia mencederakan lembu mereka.

Pertengkaran berlaku sehingga dua tertuduh menyerang mangsa.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 20 Ogos 2019 @ 9:11 PM