FOTO HIASAN.
FOTO HIASAN.
BERNAMA

Kuala Lumpur: Jumlah mangsa banjir di Perak terus menunjukkan peningkatan, manakala Selangor merekodkan penurunan pagi ini berbanding malam tadi.

Melaka dan Kelantan pula merekodkan jumlah mangsa banjir sama berbanding malam tadi.

Di PERAK, mangsa banjir meningkat kepada 920 orang daripada 263 keluarga setakat 10 pagi berbanding 874 orang daripada 249 keluarga setakat 8 malam tadi.

Kesemua mangsa berlindung di 10 pusat pemindahan sementara (PPS) yang masih dibuka.

Daerah Hilir Perak merekodkan peningkatan mangsa banjir kepada 205 mangsa daripada 60 keluarga berbanding 159 mangsa daripada 46 keluarga di PPS Dewan Serbaguna Kampung Padang Tembak.

Di SELANGOR, Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri, Angkatan Pertahanan Awam Malaysia Selangor melaporkan setakat 8 pagi, jumlah mangsa banjir di negeri itu berkurangan kepada 886 orang daripada 233 keluarga berbanding 949 mangsa membabitkan 255 keluarga malam tadi.

Sebanyak 15 PPS masih dibuka iaitu enam di Sepang, masing-masing tiga di Kuala Selangor dan Kuala Langat, dua di Sabak Bernam, manakala satu di Klang.

Di MELAKA, Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri Melaka dalam satu kenyataan memaklumkan jumlah mangsa banjir di negeri itu kekal 44 orang membabitkan 10 keluarga setakat 8 pagi ini.

Kesemua mangsa terjejas adalah dari daerah Alor Gajah membabitkan Kampung Bukit Balai, Kampung Pulau, Kampung Belimbing, Kampung Panchor dan Lubok China dan kini ditempatkan di PPS Dewan Pejabat Jawatankuasa Pembangunan dan Penyelarasan Dewan Undangan Negeri Durian Tunggal.

Di KELANTAN, jumlah mangsa banjir termenung di Rantau Panjang, Pasir Mas merekodkan 401 orang daripada 115 keluarga setakat 8 pagi ini, sama seperti malam tadi.

Berdasarkan portal InfoBencana Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) kesemua mangsa banjir ketika ini ditempatkan di empat PPS di Rantau Panjang iaitu PPS Sekolah Kebangsaan (SK) Tok Deh, SK Kubang Kual, PPS Putat Tujoh dan SK Gual Periok.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 20 November 2022 @ 11:24 AM