MOHD Hairi di Mesyuarat Keempat (Belanjawan) Penggal Persidangan Pertama Dewan Negeri Johor Ke-15 di Kota Iskandar, Iskandar Puteri. FOTO Mary Victoria Dass
MOHD Hairi di Mesyuarat Keempat (Belanjawan) Penggal Persidangan Pertama Dewan Negeri Johor Ke-15 di Kota Iskandar, Iskandar Puteri. FOTO Mary Victoria Dass
Mary Victoria Dass

Iskandar Puteri: Kerajaan negeri memandang serius isu kacau ganggu yang ditimbulkan oleh pekerja asing termasuk pergaduhan, bising dan masalah kebersihan.

Pengerusi Jawatankuasa Belia, Sukan, Pembangunan Usahawan, Koperasi dan Sumber Manusia negeri, Mohd Hairi Mad Shah berkata, pihak berkuasa tempatan (PBT) di seluruh negeri banyak menerima aduan berkaitan isu pekerja asing terbabit kes kacau ganggu di kawasan perumahan dihuni golongan terbabit.

Beliau berkata, dalam usaha menangani isu itu, Jabatan Tenaga Kerja (JTK) Johor menjalin kerjasama dengan Bahagian Penguatkuasaan PBT.

Menurutnya, operasi penguatkuasaan yang dijalankan berdasarkan aduan yang diterima selain pemantauan berkala akan dipertingkatkan.

"Akta Standard-Standard Minimum Perumahan, Penginapan dan Kemudahan Pekerja 1990 menggariskan bahawa majikan perlu mematuhi kriteria yang perlu diambil kira dalam pemilihan penempatan pekerja dan mematuhi peraturan-peraturan undang-undang berkaitan.

"Misalnya, undang-undang yang dikuatkuasakan oleh PBT di kawasan masing-masing," katanya.

Mohd Hairi berkata, bagi isu keselamatan jalan raya, pihaknya yakin majikan juga memainkan peranan dengan memberi pendedahan kepada pekerja mereka berkaitan aspek keselamatan.

"Keselamatan dan kesihatan tidak terbatas di tempat pekerjaan sahaja tetapi ia perlu diperluaskan di kawasan penginapan, pada waktu pergi dan pulang dari tempat pekerjaan serta sekitar tempat pekerjaan.

"Ia berikutan statistik Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) menyatakan, dua daripada tiga kemalangan maut yang berlaku setiap hari berpunca daripada kemalangan membabitkan individu yang berulang alik ke tempat kerja," katanya.

Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan Datuk Mohd Fuad Tukirin (BN-Bukit Naning) pada Mesyuarat Keempat (Belanjawan) Penggal Persidangan Pertama Dewan Undangan Negeri (Dun) Johor ke-15 di Kota Iskandar, Iskandar Puteri di sini, hari ini.

Mohd Fuad bertanya berkaitan usaha dilakukan bagi menangani isu pekerja asing yang banyak menimbulkan masalah moral selain isu keselamatan jalan raya yang turut diabaikan golongan itu.

Sementara itu, Mohd Hairi berkata, dalam memastikan penyediaan penempatan khas bagi pekerja asing, pihaknya juga akan berbincang dengan PBT.

"Saya akan berbincang dengan PBT sama ada terdapat tanah yang sesuai dijadikan sebagai penempatan bagi kumpulan warga asing berkenaan dalam usaha menangani masalah kacau ganggu dan sebagainya," katanya ketika menjawab soalan R Vidyananthan (BN-Kahang).

Vidyananthan bertanya berkaitan langkah jangka panjang yang boleh dilakukan oleh kerajaan negeri bagi mengatasi masalah pekerja asing.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 7 Disember 2022 @ 12:40 PM