Ahmad Zahid ketika mempengerusikan Mesyuarat Majlis Negara Bagi Kerajaan Tempatan ke - 71 di Bangunan Perdana Putra, Putrajaya, turut kelihatan Menteri Kesejahteraan Bandar, Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Tan Sri Noh Omar dan Timbalannya, Datuk Halimah Sadique. FOTO Mohd Fadli Hamzah
Ahmad Zahid ketika mempengerusikan Mesyuarat Majlis Negara Bagi Kerajaan Tempatan ke - 71 di Bangunan Perdana Putra, Putrajaya, turut kelihatan Menteri Kesejahteraan Bandar, Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Tan Sri Noh Omar dan Timbalannya, Datuk Halimah Sadique. FOTO Mohd Fadli Hamzah
Siti A'isyah Sukaimi


KERAJAAN berusaha untuk memantapkan lagi perkhidmatan pihak berkuasa tempatan (PBT) yang bertanggungjawab sebagai pentadbir bandar.

Perkara berkenaan dibincangkan pada Mesyuarat Majlis Negara Bagi Kerajaan Tempatan (MNKT) ke-71 dipengerusikan Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berlangsung di Putrajaya, hari ini.

Beliau berkata, usaha yang difokuskan itu khususnya dalam aspek kepentingan penjagaan kebersihan, keselamatan, kesejahteraan dan keselesaan serta memulihara dan menjamin kelestarian alam sekitar.

Menurutnya, sebanyak 13 kertas mesyuarat dibincangkan hari ini antaranya, kesedaran terhadap kebersihan awam serta semua PBT disarankan supaya meningkatkan penguatkuasaan seperti pemasangan sistem perangkap minyak, masalah tandas awam kotor, penggunaan bahan pencuci bersesuaian dan berkesan, pembasmi infestasi tikus serta masalah keselamatan dan kesihatan semasa mengendalikan bahan kimia berbahaya di kawasan PBT.

"Seterusnya, mewujudkan garis panduan tadika dan taska dengan persekitaran yang selamat, bebas halangan untuk kanak-kanak, penjaga, pengguna lain di dalam bangunan bertingkat dan memastikan persekitaran pembelajaran berkualiti tinggi, selesa serta selamat untuk perkembangan rohani dan jasmani kanak-kanak.

"Melaksanakan inisiatif ke arah memulihara alam sekitar seperti mengawal pembangunan chalet atas air supaya kawasan tarikan semula jadi sentiasa terpelihara dan mewajibkan pemasangan Sistem Pengumpulan dan Penggunaan Semula Air Hujan (SPAH) yang boleh mengurangkan permintaan bekalan awam," katanya dalam kenyataan, hari ini.

Beliau berkata, perkara lain ialah menggalakkan proses pewartaan cadangan pindaan Undang-Undang Kecil Bangunan Seragam 1984 (UKBS 1984) oleh kerajaan negeri supaya pelaksanaan menyeluruh dapat dikuatkuasakan secara seragam oleh PBT.

"Antara cadangan pindaan UKBS 1984 (pindaan 2012) ialah mengenai kecekapan tenaga yang memandatori Piawaian Malaysia MS1525 - Kod Amalan Penggunaan Tenaga Diperbaharui dan Kecekapan Tenaga Untuk Bangunan Bukan Kediaman serta keperluan melaksanakan kehendak menentang dan mencegah kebakaran secara aktif serta pasif disesuaikan dengan amalan seni bina dan kejuruteraan masa kini," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 10 Julai 2017 @ 9:47 PM