Mohammad Khairil Ashraf Mohd Khalid

Kuala Lumpur: Datuk Seri Anwar Ibrahim hari ini mempertahankan dakwaan dibuatnya sebelum ini bahawa sebahagian dana pilihan raya Perikatan Nasional (PN) berkemungkinan datang dari syarikat perjudian.

Perdana Menteri menegaskan, beliau tidak akan mengeluarkan kenyataan seperti itu sekiranya tidak mempunyai asas.

"Baca kenyataan dengan lengkap dan baru ambil tindakan. Tapi kalau dia (Tan Sri Muhyiddin Yassin) nak bawa terus, silakan.

"Saya takkan keluarkan kenyataan kalau saya tak ada asas," katanya kepada pemberita selepas merasmikan Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur 2023 di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTCKL) di sini, hari ini.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi), Datuk Seri Azalina Othman Said ketika menjawab soalan Ahmad Fadhli Shaari (PN-Pasir Mas) di Parlimen sebelum ini menyatakan, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah (SPRM) tidak dapat mengesahkan dakwaan bahawa PN menggunakan hasil daripada syarikat perjudian untuk membantu membiayai kempen bagi Pilihan Raya Umum ke 15 (PRU-15).

Muhyiddin kemudiannya dilaporkan menuntut Anwar dan Timbalannya, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi meminta maaf atas dakwaan parti itu menggunakan wang judi pada PRU-15.

Ahli Parlimen Pagoh itu berkata, beliau juga akan berbincang dengan peguam mengenai tindakan seterusnya yang akan diambil.

ANWAR menyampaikan ucapan pada Majlis Perasmian Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur 2023 di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTCKL), Kuala Lumpur. FOTO Aizuddin Saad
ANWAR menyampaikan ucapan pada Majlis Perasmian Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur 2023 di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTCKL), Kuala Lumpur. FOTO Aizuddin Saad

Dalam pada itu, Anwar memaklumkan satu kenyataan rasmi akan dikeluarkan berhubung Kementerian Kewangan (MOF) menubuhkan syarikat bertujuan khas (SPV) bagi mengambil alih syarikat yang bertanggungjawab terhadap projek pembinaan kapal tempur pesisir (LCS).

Katanya, kerajaan tidak mempunyai pilihan dan perlu mengambil alih syarikat yang bertanggungjawab bagi menyelesaikan projek ini.

"Kenyataan lengkap akan dikeluarkan kerana ada projek-projek sedang berlangsung yang mesti diselesaikan termasuk LCS.

"Kita tak ada pilihan. Sudah belanja RM6 bilion kita tak boleh tutup (projek). Kita kena ambil alih untuk menyelesaikan projek ini," katanya.

Menteri Pertahanan Datuk Seri Mohamad Hasan sebelum ini dilaporkan menyatakan MOF telah menubuhkan syarikat bertujuan khas (SPV) bagi mengambil alih syarikat yang bertanggungjawab terhadap projek pembinaan LCS iaitu Boustead Naval Shipyard Sdn Bhd (BNS) sebagai anak syarikat kepada MOF.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 27 Mei 2023 @ 5:07 PM