WARGA Bangladesh yang menyalahguna permit kerja ditahan polis. FOTO ihsan Polis
WARGA Bangladesh yang menyalahguna permit kerja ditahan polis. FOTO ihsan Polis
Muhaamad Hafis Nawawi


Ampang Jaya: Tindakan lelaki warga Bangladesh menyalahguna permit kerja dan menunggang motosikal roda tiga dalam keadaan mencurigakan di Jalan Au3/1 Taman Keramat di sini mengundang padah apabila ditahan polis semalam.

Ketua Polis Daerah Ampang Jaya, Asisten Komisioner Mohamad Farouk Eshak berkata, lelaki terbabit ditahan sepasukan anggota Task Force semasa melakukan Rondaan Cegah Jenayah di bawah pentadbiran Balai Polis Hulu Kelang.

Menurutnya, hasil pemeriksaan di dalam kotak motosikal roda tiga menjumpai kepingan zink, kotak kertas, besi aluminium dan barang-barang plastik.

"Suspek gagal memberi keterangan dari mana dan dari siapa dia mendapatkan barang-barang terbabit.

"Pemeriksaan dokumen pengenalan diri pula mendapati suspek menyalahgunakan permit (pekerja pembinaan)," katanya kepada Harian Metro hari ini.

Beliau berkata, suspek kemudian ditangkap dan dibawa balik bersama barang rampasan ke Balai Polis Hulu Kelang untuk tindakan selanjutnya.

"Kes disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Imigresen 1959/63 dan Seksyen 29 (1) Akta Kesalahan Kecil (AKK) 1955," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 6 Disember 2022 @ 2:23 PM