PELAKSANAAN projek Lebuhraya Pan Borneo Sabah Fasa 1 dengan anggaran jarak keseluruhan 706 KM itu dibahagikan kepada 35 pakej kerja. FOTO Arkib NSTP
PELAKSANAAN projek Lebuhraya Pan Borneo Sabah Fasa 1 dengan anggaran jarak keseluruhan 706 KM itu dibahagikan kepada 35 pakej kerja. FOTO Arkib NSTP
Raja Noraina Raja Rahim

Kuala Lumpur: Kementerian Kerja Raya (KKR) meneruskan komitmen Projek Lebuhraya Pan Borneo (Sabah dan Sarawak) dalam Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK-12) bagi menyokong hasrat kerajaan melonjakkan pembangunan di negeri berkenaan.

Menterinya, Datuk Seri Fadillah Yusof berkata, ketika ini sebahagian kerja pembinaan lebuh raya itu sudah dimulakan dan dalam pembinaan, namun masih ada yang belum dilaksanakan kerana ketiadaan peruntukan.

"Saya komited memastikan penyediaan infrastruktur asas akan diperluas dengan membina jambatan dan menaik taraf 1,400 kilometer (KM) jalan berturap luar bandar serta menyiapkan pembinaan 1,492 KM Lebuhraya Pan Borneo.

"Ini termasuk kerja penyenggaraan jalan serta program pembangunan yang membabitkan keselamatan pengguna jalan raya berskala kecil tetapi memberi impak besar kepada rakyat," katanya ketika sesi penggulungan RMK-12 di Dewan Rakyat, hari ini.

Mengulas lanjut, beliau berkata, pelaksanaan projek Lebuhraya Pan Borneo Sabah Fasa 1 dengan anggaran jarak keseluruhan 706 KM itu dibahagikan kepada 35 pakej kerja.

Fadillah berkata, sebanyak 12 pakej kerja sudah dibuat pelantikan kontraktor dengan status kemajuan pembinaan adalah 56 peratus, setakat Julai lalu.

"Selain itu, Surat Setuju Terima (SST) bagi tiga pakej kerja baharu yang membabitkan laluan daripada Sandakan Mile 32 sehingga Sungai Baoto sudah dikeluarkan pada September lalu dan kerja pembinaan akan bermula tahun ini.

"Satu pakej kerja baharu membabitkan laluan dari Serusup ke Pituru pula diperuntukkan di dalam RP1 RMK-12, menjadikan keseluruhan 16 pakej kerja akan dilaksanakan buat masa kini," katanya.

Selain projek lebuh raya itu, beliau berkata, kerajaan juga akan memberi keutamaan kepada pelaksanaan Projek Ketersambungan Fizikal Indonesia-Malaysia-Thailand), PCP IMT-GT dan Projek Infrastruktur Keutamaan Dua-Hala.

Menurutnya, KKR turut melaksanakan pelbagai projek infrastruktur jalan raya yang dikategorikan sebagai projek PCP IMT-GT dan hubungan subserantau yang kini berada dalam pelbagai peringkat pelaksanaan.

"KKR sentiasa berganding bahu dengan menggunakan kepakaran dan era pemangkin digital Revolusi Perindustrian Keempat (4IR) untuk merealisasikan matlamat RMK-12 selain membina sebuah negara berdaya saing serta kalis cabaran dengan membawa semangat Keluarga Malaysia," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 5 Oktober 2021 @ 5:53 PM