Muhammad Zulsyamini Sufian Suri

Ipoh: Pembentukan kerajaan negeri Perak hasil gabungan antara Barisan Nasional (BN) dan Pakatan Harapan (PH) adalah muktamad serta tidak akan diteliti semula biarpun pembentukan kerajaan di peringkat Persekutuan kelak adalah berlainan.

Menteri Besar Datuk Seri Saarani Mohamad mengesahkan perkara itu dan berkata, kerjasama di peringkat negeri yang sudah terbentuk tidak akan mengikut kepada bentuk kerjasama yang dijalinkan oleh BN di peringkat pusat.

Katanya, tambahan pula komposisi kerusi parti di peringkat negeri yang hanya merangkumi tiga gabungan iaitu BN, PH, dan Perikatan Nasional (BN) adalah berlainan dengan komposisi kerusi di parlimen yang mana turut membabitkan parti di Sabah dan Sarawak.

"Kita 'move on' dan jalan terus. Kita sudah muktamadkan seperti yang sepatutnya sebab saya punya fokus sekarang ialah untuk memulakan kerja-kerja membangunkan negeri dan saya tak boleh 'delay' (tunda).

"Di peringkat pusat ada beberapa (banyak lagi) parti termasuk GPS (Gabungan Parti Sarawak), GRS (Gabungan Rakyat Sabah), Warisan, jadi ada banyak benda tetapi di Perak ini cuma ada tiga komponen (gabungan parti).

"Jadi dengan mudahnya kita (di Perak) boleh buat keputusan dan kita akan teruskan apa yang telah kita buat, dan sebab itu kita sudah mulakan dengan mesyuarat EXCO Perak pertama hari ini selain sudah menetapkan tarikh persidangan pertama Dewan Negeri bagi penggal ini," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas mempengerusikan mesyuarat EXCO pertama bagi penggal ini di Pejabat Menteri Besar di Bangunan Perak Darul Ridzuan di sini, hari ini.

Saarani berkata demikian ketika ditanya sama ada kerjasama yang terjalin di Perak akan diteliti semula susulan kenyataannya sebelum ini bahawa mesyuarat Biro Politik Umno yang memutuskan bahawa sebaiknya model pembentukan kerajaan di peringkat negeri bagi BN adalah sama dengan model di peringkat Persekutuan.

Setakat berita ini ditulis, belum dapat dipastikan kerjasama terjalin antara BN di peringkat pusat dengan parti lain mengenai peranan gabungan itu dalam pembentukan kerajaan pusat selepas gabungan itu yang dianggap sebagai 'king maker' (penentu keputusan).

Sementara itu, dalam perkembangan berkaitan, Saarani berkata, Dewan Negeri Perak akan bersidang pada 19 Disember ini dengan antara intipatinya adalah bagi pembentangan Bajet Negeri Perak 2023 serta pembentangan dan perbahasan mengenai enakmen peruntukan larangan ahli Dewan lompat parti.

Saarani berkata, pada sidang atau Mesyuarat Pertama dan Kedua Tahun Pertama Dewan Negeri ke-15 Perak itu nanti, ia juga akan menyaksikan istiadat angkat sumpah Speaker Dewan iaitu Datuk Mohammad Zahir Abdul Khalid yang juga adalah Speaker Dewan sebelum pembubaran Dun Perak pada 17 Oktober lalu.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 23 November 2022 @ 2:57 PM