Saarani Mohamad (tengah) berbual dengan ADUN  Manjoi Datuk Asmuni Awi (kanan) dan ADUN)Tebing Tinggi, Dr Abdul Aziz Bari (kiri) pada Persidangan DUN Perak di Bangunan Perak Darul Ridzuan hari ini. FOTO BERNAMA
Saarani Mohamad (tengah) berbual dengan ADUN Manjoi Datuk Asmuni Awi (kanan) dan ADUN)Tebing Tinggi, Dr Abdul Aziz Bari (kiri) pada Persidangan DUN Perak di Bangunan Perak Darul Ridzuan hari ini. FOTO BERNAMA
BERNAMA

Kuala Lumpur: Ketiga-tiga parti iaitu Bersatu, Barisan Nasional (BN) dan PAS bersetuju mencadangkan Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Kota Tampan Datuk Saarani Mohamad sebagai Menteri Besar Perak yang baharu.

Persetujuan mengenai cadangan itu dicapai dalam perbincangan Presiden Bersatu, Presiden PAS dan Pengerusi BN, yang turut disertai Setiausaha Agung ketiga-tiga parti mengenai pembentukan kerajaan negeri Perak, hari ini.

"Atas semangat pemuafakatan Perikatan Nasional, ketiga-tiga parti bersetuju untuk mencadangkan Saarani sebagai Menteri Besar Perak yang baharu untuk diperkenankan oleh Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Sultan Perak.

"Perbincangan hari ini juga mencapai kata sepakat mengenai pelantikan-pelantikan lain dalam kerajaan negeri," menurut kenyataan bersama Setiausaha Agung Bersatu Datuk Seri Hamzah Zainudin, Setiausaha Agung BN Tan Sri Annuar Musa dan Setiausaha Agung PAS Datuk Takiyuddin Hassan.

Menurut kenyataan itu, Pengerusi BN sudah menyampaikan pernyataan maaf bagi pihak ADUN BN Perak di atas kekhilafan yang berlaku.

Ketiga-tiga parti turut bersepakat untuk memperkukuhkan kerjasama antara parti dalam kerajaan PN di Perak dan peringkat nasional demi kestabilan politik serta kesejahteraan rakyat.

Perak berhadapan dengan kemelut politik apabila Pengerusi Bersatu Perak Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu, yang juga ADUN Chenderiang, gagal mendapat sokongan dalam usul undi kepercayaan majoriti ahli Dewan terhadap Menteri Besar Perak pada persidangan DUN, Jumaat lalu.

Menerusi usul yang dibawa Datuk Abd Manap Hashim (BN-Pengkalan Baru), Ahmad Faizal hanya mendapat sokongan 10 undi berbanding 48 menentang manakala satu berkecuali, dan Ahmad Faizal kemudiannya mengumumkan peletakan jawatan beliau sebagai Menteri Besar bersama seluruh barisan Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (Exco) sehari selepas itu.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 9 Disember 2020 @ 5:47 PM