GAMBAR hiasan. FOTO Arkib NSTP.
GAMBAR hiasan. FOTO Arkib NSTP.
Asrol Awang


Kuantan: Pakatan Harapan (PH) Pahang mengesahkan turut mengadakan perbincangan dengan Barisan Nasional (BN) dalam usaha membentuk Kerajaan Pahang.

Setiausaha PH Pahang, Rizal Jamin, berkata perbincangan itu membabitkan Pengerusi PH Pahang, Datuk Seri Amirudin Shari dan Pengerusi BN Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail, semalam.

Katanya, hasil perbincangan adalah positif ke arah membentuk kerajaan Pahang antara PH dan yang stabil dan inklusif demi menjamin kemakmuran dan pembangunan mapan ekonomi negeri Pahang Darul Makmur.

"Sebarang perkembangan lanjut akan dimaklumkan dari semasa ke semasa," katanya menerusi kenyataan media, hari ini.

Pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15), Perikatan Nasional (PN) Pahang memperoleh 17 daripada 41 kerusi Dewan Undangan Negeri (Dun) Pahang, manakala BN hanya memperoleh 16 kerusi.

PH pula memperoleh lapan kerusi pada pilihan raya kali ini namun boleh membentuk kerajaan jika BN bersetuju bekerjasama sekali gus membentuk kerajaan campuran seperti yang berlaku di Perak.

Sebelum ini, media melaporkan, Pengerusi DAP Pahang, Leong Ngah Ngah sebagai berkata, perbincangan sudah dibuat oleh DAP Pahang, namun rundingan dengan BN negeri akan dijalankan Amirudin.

PH Pahang juga sudah membuat keputusan menyokong Wan Rosdy untuk terus menerajui kerajaan negeri selaku Menteri Besar andai kerjasama dengan BN berjaya direalisasikan.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 23 November 2022 @ 4:53 PM