Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi. FOTO AIZUDDIN SAAD
Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi. FOTO AIZUDDIN SAAD
Baharom Bakar


Kuala Terengganu: Presiden Umno Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi diminta berundur diri secara bermaruah berikutan kekalahan teruk Barisan Nasional (BN) pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15), semalam.

Exco Pergerakan Pemuda Umno, Datuk Dr Najmil Faiz Mohamed Aris berkata, kekalahan dialami BN pada PRU semalam adalah paling teruk jika dibandingkan dengan PRU-14.

Katanya, Ahmad Zahid yang turut mengekalkan kemenangan di Parlimen Bagan Datuk pada PRU semalam perlu bertanggungjawab atas kekalahan teruk BN.

"Baik-baik jadi kerajaan, dia (Ahmad Zahid) sibuk desak PRU-15 diadakan segera dan ditambah dengan strategi yang menjahanamkan kawasan putih BN.

"Pengerusi BN itu perlu terima hakikat bahawa kekalahan teruk dialami parti membuktikan bahawa rakyat tidak suka kepada Ahmad Zahid, tetapi pentaksub kepada bekas Timbalan Perdana Menteri itu masih tidak mahu menerima kenyataan," katanya melalui kenyataan yang dimuat naik melalui Facebook (FB), hari ini.

Pada PRU-15 semalam, BN hanya memenangi 30 daripada 178 kerusi Parlimen yang ditandingi selain Perikatan Nasional menyapu bersih kerusi Parlimen di Terengganu dan Kelantan, berbanding 79 kerusi dimenangi pada PRU-14.

Mengulas lanjut, Najmil Faiz berkata, kekalahan teruk BN itu membuktikan Umno menjadi korban disebabkan tindakan pemimpin yang menjadikan parti sebagai 'tebusan'.

"Kita kecewa dan sedih kerana segala kebaikan dilakukan Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob seolah tidak bermakna di mata rakyat.

"Kekalahan teruk itu membuktikan rakyat tidak bersetuju dengan tindakan sesetengah pemimpin yang rakus dan ego," katanya.

Najmil Faiz berkata, pemimpin parti yang mengeluarkan kenyataan untuk memberi pandangan dituduh sebagai pengkhianat.

Katanya: "Ke manakah hala tuju BN selepas ini dan adalah akan menyertai jajaran baharu bersama PN dan PH (Pakatan Harapan?

"Berundurlah wahai Ahmad Zahid dengan bermaruah supaya tiada ruang untuk kerjasama Umno dan PH."

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 20 November 2022 @ 11:53 AM