ZARIAH Othman dan Faizal Ranni.
ZARIAH Othman dan Faizal Ranni.
Sri Ayu Kartika Amri


Kuala Lumpur: Kerajaan yang bakal dipilih rakyat dalam Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15) kelak perlu melaksanakan amanah dengan lebih telus dan menunaikan janji yang dibuat.

Rata-rata pengundi yang ditemui Harian Metro menyatakan mereka begitu mengharap agar bakal kerajaan yang memerintah nanti tidak hanya menabur janji.

Pesara, Zariah Othman, 71, berkata PRU-15 ini lebih mencabar kerana terlalu banyak calon yang bertanding.

Dia yang sudah menunaikan tanggungjawab sebagai pengundi sejak tahun 80-an itu melahirkan pengharapan agar parti yang berjaya menjadi kerajaan nanti dapat menangani masalah rakyat terutama menangani kenaikan harga barang terlalu tinggi.

"Biarlah kerajaan yang dipilih betul-betul membuat kerja kerana rakyat sekarang banyak menderita dengan kos sara hidup yang naik.

"Semoga kerajaan baru tidak membebankan rakyat, mentadbir negara dengan lebih telus dan amanah serta tidak mengejar kemewahan untuk diri sendiri.

"Saya juga sentiasa berdoa agar mendapat kerajaan yang boleh mentadbir negara ke arah lebih baik dan sesiapa pemimpin yang berniat baik, saya doakan mereka berjaya," katanya kepada Harian Metro.

Zariah juga menasihati semua pengundi membuat pilihan yang tepat bagi menentukan kestabilan negara dalam semua aspek termasuk ekonomi, politik dan sosial sekali gus penentu masa depan generasi muda.

Bagi Faizal Ranni, 54, dia yang pertama kali akan mengundi itu berharap kerajaan yang ada nanti memberi tumpuan membantu rakyat dan negara dan tidak hanya bercakap 'kosong' di parlimen.

"Saya membuat persediaan dengan mengkaji calon yang bertanding melihat latar belakang mereka semua kerana tidak mahu salah memilih.

"Saya berharap kita mendapat kerajaan yang stabil yang boleh membuat keputusan tanpa campur tangan orang lain dan itu yang penting.

"Apabila sudah habis pilihan raya nanti semoga pemimpin yang dipilih buat kerja mereka, fokus dan tahu tanggungjawab yang perlu dipikul," katanya yang akan mengundi di Parlimen Gombak.

Sementara itu, bagi pengundi muda yang pertama kali mengundi pada PRU-15, Nur 'Ain Athirah Nor Sazman, 19, berkata dia mengakui berdebar untuk memilih calon kepimpinan yang ada.

Menurutnya, ia juga teruja kerana dapat turun padang mengundi bersama rakyat yang lain dan mengharapkan kerajaan adil, saksama dan telus bakal dibentuk.

"Saya mengharapkan agar ekonomi kembali stabil dan maju di bawah pimpinan kerajaan yang bertanggungjawab agar kehidupan rakyat terbela sepanjang masa.

"Disebabkan itu saya akan memilih calon yang bertanggungjawab, bersikap jujur dalam memimpin, berdedikasi dan bijak membuat keputusan agar ekonomi negara tidak merosot, aman dan terus maju," katanya.

Bagi Mohammad Rizwan Rusdi, 37, dia turut berharap semoga kerajaan baru tidak membebankan rakyat dan dapat segera menyelesaikan masalah yang dihadapi rakyat.

"Sekarang orang tidak memilih parti tetapi calon individu yang boleh membuat kerja, melaksanakan amanah diberikan.

"Harapan saya wakil pemimpin atau kerajaan nanti selalu turun padang berjumpa rakyat dan ambil tahu masalah yang berlaku kerana kita mahupun kestabilan ekonomi negara dan ekonomi sosial," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 18 November 2022 @ 3:58 PM