Noorazura Abdul Rahman


Baling: "Alhamdulillah, dapatlah saya menyambut Aidiladha di rumah baharu nanti. Jika boleh esok saya mahu berpindah ke sini," kata Abdul Rahman Said, 71.

Warga emas itu antara 12 keluarga yang menerima kunci kediaman baharu hari ini selepas hampir setahun menunggu, susulan rumah masing-masing musnah dalam tragedi banjir puing di Kampung Iboi di sini.

Abdul Rahman yang turut kehilangan isteri, anak dan menantu dalam tragedi 4 Julai 2022 itu berkata, sangat bersyukur menerima kunci dan geran tanah yang disampaikan Menteri Besar Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor.

"Saya sangat berterima kasih kepada Menteri Besar dan juga agensi berkaitan yang banyak membantu mangsa banjir puing tahun lalu sehingga mendapat rumah baharu ini.

RUMAH mangsa banjir Kampung Iboi yang sedia untuk diduduki di Desa Keda Sadek, Kupang. FOTO Syaharim Abidin.
RUMAH mangsa banjir Kampung Iboi yang sedia untuk diduduki di Desa Keda Sadek, Kupang. FOTO Syaharim Abidin.

"Alhamdulillah, kami dapat berpindah sebelum Aidiladha tidak lama lagi," katanya yang reda kerana di sebalik musibah yang berlaku, penduduk menerima pelbagai bantuan selepas kejadian.

Seorang lagi penerima, Azizan Mat Isa, 50, berkata, dia bersama anak-anak dan isteri akan berpindah segera ke rumah baharu itu bagi membuat persediaan menyambut raya haji.

"Perasaan saya ada sedih, ada gembira tapi saya tetap bersyukur dapat rumah baharu. Sebelum ini saya habiskan wang pencen saya untuk buat rumah baharu di Kampung Iboi.

"Tetapi rezeki saya hanya dapat tinggal selama 10 tahun di situ sebelum ia musnah dalam banjir puing.

"Sekarang ini saya hanya bekerja di kampung dengan mengambil upah membuat rumah, syukur Alhamdulillah kerana kerajaan banyak membantu kami," katanya yang juga pesara tentera.

Muhammad Sanusi berkata, fasa dua pembinaan rumah buat 17 lagi keluarga di zon kuning di jajaran Sungai Kupang sedang giat dilaksana dan penduduk akan dipindahkan dalam masa terdekat.

Katanya, proses pengambilan tanah bagi pembinaan rumah itu di Kampung Bok Bak sudah selesai dan membabitkan kos RM600,000.

Terdahulu, beliau menyampaikan kunci dan geran tanah kepada 12 keluarga yang terjejas banjir puing Kampung Iboi di Desa Keda Kampung Sadek, Kupang.

SERAMAI 12 keluarga yang juga mangsa banjir Kampung Iboi menerima kunci rumah dan geran tanah yang disampaikan Muhammad Sanusi (lima, kiri) selepas hampir setahun menunggu. FOTO Syaharim Abidin.
SERAMAI 12 keluarga yang juga mangsa banjir Kampung Iboi menerima kunci rumah dan geran tanah yang disampaikan Muhammad Sanusi (lima, kiri) selepas hampir setahun menunggu. FOTO Syaharim Abidin.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 16 Jun 2023 @ 9:11 PM