KENYATAAN Tuan Sabariah  di media sosial. FOTO media sosial
KENYATAAN Tuan Sabariah di media sosial. FOTO media sosial
Nor Fazlina Abdul Rahim


Kota Bharu: Isteri kepada Allahyarham Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat, Datin Tuan Sabariah Tuan Ishak memaklumkan beliau tidak merestui mana-mana anaknya bertanding di Pilihan Raya, melainkan atas tiket Pas.

Tuan Sabariah berkata, beliau dan arwah suami sudah mendidik anak-anak mereka sejak kecil agar istiqamah dengan perjuangan Islam bersama PAS.

"Saya tidak pernah merestui mana-mana anak saya bertanding dalam mana-mana pilihan raya kecuali di atas tiket Pas.

"Al-Marhum Tuan Guru dan saya sudah mendidik anak-anak kami sejak dari kecil lagi agar kekal Istiqamah dengan perjuangan Islam bersama Parti PAS," katanya menerusi kenyataan di sini, malam tadi.

Kenyataan itu dipercayai merujuk kepada anaknya, Nik Omar yang bertanding di Parlimen Pasir Salak atas tiket PKR pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15).

Parlimen Pasir Salak menyaksikan pertembungan empat penjuru. Selain Khairul Azwan Harun daripada Barisan Nasional (BN) dan Nik Omar, kerusi itu juga ditandingi calon Perikatan Nasional (PN), Jamaludin Yahya dan calon Gerakan Tanah Air (GTA), Zairol Hizam Zakaria.

Nik Omar sebelum ini pernah bertanding di Dewan Undangan Negeri (DUN) Chempaka, Kelantan namun tewas pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) di kerusi yang pernah disandang arwah bapanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 17 November 2022 @ 9:47 AM