ANGGOTA bomba menaikkan mayat lelaki yang meninggal dunia dalam palong di Parit 8 Gambut, hari ini. FOTO ihsan bomba
ANGGOTA bomba menaikkan mayat lelaki yang meninggal dunia dalam palong di Parit 8 Gambut, hari ini. FOTO ihsan bomba
Amirul Aiman Hamsuddin


Sungai Besar: Misteri kehilangan seorang lelaki sejak semalam terjawab apabila dia ditemukan lemas selepas tersangkut pada jaring ikan dan udang yang dipasangnya dalam palong Parit 8 Gambut, di sini, hari ini.

Mangsa berusia 55 tahun ditemui anaknya jam 7.55 pagi dalam keadaan terapung.

Ketua Polis Daerah Sabak Bernam, Superintendan Agus Salim Mohd Alias berkata, isteri mangsa memaklumkan dia dan suaminya pergi memasang jaring ikan dan udang di palong berdekatan rumah mereka.

"Jam 6.45 petang semalam, isteri mangsa pulang ke rumah manakala mangsa tidak balik kerana pada sebelah malam dia hendak berkawal di khemah gerakan sebuah parti politik di simpang Parit 8 Timur.

"Pada 6 pagi hari ini, isteri mangsa mendapati suaminya tidak pulang. Wanita itu kemudian menghubungi anaknya memaklumkan perkara itu," katanya ketika dihubungi, hari ini.

Agus Salim berkata, anak mangsa tiba di rumah dan terus ke tempat bapanya memasang jaring.

"Dia menemui bapanya terendam dalam palong dan tersangkut pada jaring.

"Mayat dinaikkan pihak bomba dan disahkan meninggal dunia oleh pasukan perubatan," katanya sambil menambah mangsa tidak mempunyai sejarah rekod penyakit.

Agus Salim berkata, hasil siasatan mendapati terdapat tali rafia terbelit pada lengan mangsa dan gunting terkalung pada lehernya dipercayai digunakan untuk mengikat jaring.

"Pemeriksaan lanjut ke atas badan mangsa tiada kesan lebam atau kecederaan lain yang boleh mengakibatkan kematiannya.

"Mayat dibawa ke Hospital Tengku Ampuan Jemaah (HTAJ) Sabak Bernam untuk menjalani ujian saringan Covid-19 sebelum bedah siasat dilakukan.

"Bagaimanapun, hasil ujian saringan adalah negatif dan jenazah diserahkan kepada waris untuk urusan pengebumian," katanya.

Menurutnya, siasatan lanjut akan diteruskan dan kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut.

Sementara itu, Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Selangor, Norazam Khamis berkata, pihaknya menerima panggilan berhubung kejadian itu pada 8.05 pagi.

Beliau berkata, sepasukan 10 anggota bersama jentera dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Sungai Besar dihantar ke lokasi kejadian.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 16 November 2022 @ 9:33 PM