KEADAAN kereta Proton Persona dinaiki dua pegawai dan anggota tentera yang maut dalam kemalangan. FOTO Ihsan Pembaca.
KEADAAN kereta Proton Persona dinaiki dua pegawai dan anggota tentera yang maut dalam kemalangan. FOTO Ihsan Pembaca.
Amirul Aiman Hamsuddin


Sungai Besar: Perjalanan dua lelaki masing-masing pegawai dan anggota tentera ke Port Dickson, Negeri Sembilan bertukar tragedi apabila mereka maut dalam kemalangan di Kilometer 48 Jalan Teluk Intan-Klang, berhampiran jejambat Sungai Besar, di sini hari ini.

Ketua Polis Daerah Sabak Bernam, Superintendan Agus Salim Mohd Alias, berkata kejadian jam 3.20 petang membabitkan dua sebuah kereta Proton Persona dan lori penyelenggaraan jalan.

Beliau berkata, siasatan awal mendapati kedua-dua mangsa berpangkat Leftenan Kolonel dan Lans Koperal yang berkhidmat di Markas Tentera Darat Cawangan Sumber Manusia Kementah dari arah Lumut, Perak.

"Ketika kejadian, sebuah lori Isuzu dipandu lelaki berusia 35 tahun dipercayai baharu selesai menjalankan kerja pembersihan jalan di kawasan berkenaan.

"Pemandu lori kemudian memandu dalam keadaan mengundur untuk mengutip kon selepas kerja pembersihan.

"Ketika itu, kereta dinaiki dua mangsa masing-masing berusia 28 dan 49 tahun dari arah Sabak Bernam ke Klang gagal mengelak lalu melanggar belakang lori berkenaan," katanya ketika dihubungi, hari ini.

Agus Salim berkata, kemalangan mengakibatkan mangsa masing-masing pemandu dan penumpang belakang maut di tempat kejadian akibat parah di kepala.

Sementara, pemandu lori tidak mengalami kecederaan.

"Mayat kedua-dua mangsa dihantar ke Hospital Tengku Ampuan Jemaah (HTAJ) Sabak Bernam untuk bedah siasat.

"Kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987," katanya.

Beliau berkata, pemeriksaan polis di tempat kejadian mendapati tiada kamera litar tertutup (CCTV) di lokasi kejadian.

"Permukaan jalan empat lorong dua hala berkenaan kering dan cuaca juga tidak hujan," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 17 Mei 2023 @ 10:59 PM