Anggota bomba melakukan rondaan bagi mencari mangsa hilang selepas mandi di sebuah jeti sungai di pekan Sabak Bernam. Foto Ihsan JBPM
Anggota bomba melakukan rondaan bagi mencari mangsa hilang selepas mandi di sebuah jeti sungai di pekan Sabak Bernam. Foto Ihsan JBPM
Amirul Aiman Hamsuddin

Sabak Bernam: Lelaki dikhuatiri lemas selepas mandi di sebuah jeti sungai di pekan Sabak Bernam, petang semalam.

Ketua Polis Daerah Sabak Bernam Superintendan Agus Salim Mohd Alias berkata, mangsa berusia 75 tahun itu dipercayai berenang ke tengah sungai selama 30 minit sebelum tenggelam.

Menurutnya, kejadian dilaporkan berlaku pada 6.45 petang oleh orang awam yang berada di jeti berkenaan.

"Hasil siasatan dan temu bual dengan saksi di tempat kejadian mendapati lelaki berkenaan memaklumkan hendak mandi sebelum menanggalkan baju serta selipar dan terjun ke sungai.

"Mangsa juga memberitahu pandai berenang dan ketika ditanya saksi, dia memaklumkan keadaannya baik sebelum tenggelam," katanya ketika dihubungi, hari ini.

Agus Salim berkata, temu bual dengan anak perempuan mangsa mengesahkan mangsa adalah bapanya selepas mengecam baju dan selipar yang ditinggalkan.

Katanya, anak perempuan mangsa juga memaklumkan bapanya memberitahu hendak keluar seketika pada petang semalam.

"Mangsa ke jeti itu dengan menaiki kereta Proton Wira Aeroback dan parkir di tempat letak kereta berhampiran sebuah tokong.

"Anak perempuan mangsa juga mengesahkan kereta itu milik bapanya," katanya.

Agus Salim berkata, pasukan bomba bersama polis giat melakukan operasi mencari dan menyelamat (SAR) mangsa dengan turut dibantu nelayan.

"Pencarian diteruskan semula bermula 8 pagi tadi," katanya.

Sementara itu, Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Selangor Norazam Khamis berkata, pihaknya menerima panggilan mengenai kejadian itu pada 6.57 petang.

Beliau berkata, sepasukan 25 anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Sabak Bernam, Pasukan Penyelamat Di Air (PPDA) Shah Alam dan Pelabuhan Klang serta Pasukan Bomba Sukarela (PBS) Pekan Sabak Bernam dikejarkan lokasi untuk tindakan lanjut.

"Pencarian secara 'surface searching' menggunakan tiga bot bomba dan sebuah bot nelayan dilakukan. Anggota PPDA juga melakukan selaman di lokasi," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 19 Ogos 2021 @ 11:30 AM