AGUS Salim (tengah) menunjukkan barang dirampas daripada tiga individu pada sidang media di IPD Sabak Bernam, hari ini. FOTO AMIRUL AIMAN HAMSUDDIN
AGUS Salim (tengah) menunjukkan barang dirampas daripada tiga individu pada sidang media di IPD Sabak Bernam, hari ini. FOTO AMIRUL AIMAN HAMSUDDIN
Amirul Aiman Hamsuddin


Sungai Besar: Dua beradik diberkas polis selepas disyaki terbabit dengan kegiatan pecah rumah di Bagan Nakhoda Omar (BNO), Sabak Bernam, pada 19 Oktober lalu.

Ketua Polis Daerah Sabak Bernam, Superintendan Agus Salim Mohd Alias berkata, kedua-dua suspek berusia 19 dan 27 tahun itu ditahan di sebuah rumah di Kampung Teluk Rhu, Sabak Bernam pada 2 pagi.

Beliau berkata, penahanan itu susulan laporan daripada seorang suri rumah berusia 54 tahun yang mendakwa kediamannya dipecah masuk pada 13 September lalu.

"Mangsa meninggalkan rumahnya pada 31 Ogos lalu dalam keadaan berkunci dan apabila pulang 13 hari kemudian, mangsa mendapati pintu hadapan rumahnya dipecah masuk.

"Mangsa yang membuat pemeriksaan kemudian mendapati pelbagai barangan hilang dan kerugian RM6,000," katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Sabak Bernam, hari ini.

Agus Salim berkata, hasil penahanan suspek, polis merampas empat set batang pancing, empat kipas, mesin basuh, komputer, seterika dan peralatan dipercayai untuk digunakan dalam kegiatan pecah rumah.

Beliau berkata, penahanan dua beradik itu berjaya membongkar kegiatan dilakukan seorang lelaki warga Indonesia yang memecah masuk sebuah jeti nelayan di BNO, 11 Julai lalu.

"Suspek berusia 40 tahun diberkas di tepi jalan Pantai Redang, Sekinchan, pada 12.10 tengah malam tadi.

"Penahanan dilakukan susulan laporan daripada seorang nelayan berusia 42 tahun yang memaklumkan jeti nelayan dipecah masuk dan sebuah televisyen dibawa lari menyebabkan kerugian RM3,000," katanya.

Agus Salim berkata, hasil semakan mendapati suspek berusia 27 tahun mempunyai rekod lampau narkotik, selain ujian saringan air kencing menunjukkan semua suspek bebas daripada penyalahgunaan dadah.

Beliau berkata, semua suspek direman bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 457 Kanun Keseksaan (KK).

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 22 Oktober 2020 @ 3:13 PM