AGUS Salim (tengah) menunjukkan menunjukkan barangan yang dirampas. FOTO Amirul Aiman Hamsuddin
AGUS Salim (tengah) menunjukkan menunjukkan barangan yang dirampas. FOTO Amirul Aiman Hamsuddin
Amirul Aiman Hamsuddin


Sungai Besar: Pasangan kekasih antara enam individu ditahan polis selepas disyaki terbabit dalam kegiatan pecah rumah dan curi kenderaan di sekitar daerah Sabak Bernam sejak sebulan lalu.

Ketua Polis Daerah Sabak Bernam, Superintendan Agus Salim Mohd Alias berkata, kedua-dua suspek berusia lingkungan 30-an ditahan di lokasi berasingan.

Beliau berkata, pihaknya terlebih dulu menahan seorang wanita di sebuah rumah di Sungai Air Tawar, Sabak Bernam pada 25 Ogos lalu.

"Tangkapan awal itu kemudian membongkarkan kegiatan pecah rumah dilakukan bersama dengan teman lelakinya dan empat lagi lelaki.

"Polis kemudian berjaya menahan lagi empat lelaki berusia antara 17 hingga 54 tahun di dua lokasi berasingan," katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Sabak Bernam, di sini, hari ini.

Agus Salim berkata, rentetan daripada penahanan itu polis berjaya merungkai kegiatan kes pecah rumah dan curi kenderaan didalangi kekasih wanita berkenaan yang juga orang pengawasan polis (OPP).

"Suspek ditahan di sebuah rumah di Kluang, Johor pada jam 12 tengah hari, 5 September lalu. Dia menjalani perintah sekatan buang daerah (PCO) dari Kluang ke Sabak Bernam pada 20 Disember tahun lalu sebelum ini kerana terbabit dalam jenayah sama di daerah itu.

"Bagaimanapun, suspek kembali aktif pada Ogos lalu dan melakukan kegiatan itu bersama penduduk tempatan," katanya.

Agus Salim berkata, hasil semakan terhadap suspek utama mendapati dia mempunyai 43 rekod lampau membabitkan kesalahan jenayah dan narkotik.

Selain itu, katanya, kesemua suspek menjalani ujian air kencing dan empat daripadanya termasuk pasangan kekasih didapati positif dadah jenis methamphetamine.

"Dengan penahanan kesemua suspek, polis berjaya menyelesaikan enam kes pecah rumah dan tiga kes curi kenderaan sepanjang tempoh sebulan lalu.

"Polis turut merampas pelbagai barangan termasuk dua motosikal dan sebuah Proton Wira Aeroback yang membabitkan nilai keseluruhan RM 25,000," katanya.

Agus Salim berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 379A Kanun Keseksaan (KK) dan Seksyen 15 (2) (f) Akta Pencegahan Jenayah 1959 kerana melanggar syarat pengawasan polis.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 15 September 2022 @ 1:23 PM