KEMENTERIAN Pembangunan Luar Bandar (KPLB), Putrajaya.
KEMENTERIAN Pembangunan Luar Bandar (KPLB), Putrajaya.
Oleh Suliati Asri


Kuala Lumpur: Kementerian Pembangunan Luar Bandar terus komited meningkatkan pengupayaan komuniti dengan merancang serta menjayakan pelaksanaan projek pembangunan ekonomi di kawasan kampung.

Justeru, menerusi Program Desa Lestari (PDL) yang diperkenalkan bermula 2013 di bawah program Transformasi Kerajaan (GTP 2.0) merupakan antara inisiatif Kementerian Pembangunan Luar Bandar (KPLB) bagi mentransformasi kawasan luar bandar dan meningkatkan taraf hidup masyarakatnya.

Ketua Setiausaha KPLB, Datuk Ramlan Harun berkata, di bawah KPLB mandat kementerian itu adalah kesejahteraan rakyat dan antara elemennya untuk meningkatkan taraf hidup.

Menurutnya, PDL adalah program di mana, kerajaan menyediakan geran kepada kampung terpilih dan platform yang digunakan adalah Koperasi Komuniti.

"Kami percaya koperasi adalah satu ruang yang sesuai di mana masyarakat boleh bekerjasama dan ia juga elemen yang sesuai untuk mengadakan program ini.

"Sejak dilaksanakan bermula 2013, setakat ini PDL nampaknya memberi impak yang baik. Kini, PDL meliputi 137 kampung kesemuanya di seluruh negara," katanya.

Mengulas lanjut mengenai PDL, Ramlan berkata, objektif utama PDL adalah untuk meningkatkan pengupayaan komuniti dalam merancang serta menjayakan pelaksanaan projek pembangunan ekonomi di kampung.

Menurutnya, PDL juga adalah program bersifat bottom up, rakyat sendiri memperkasakan aktiviti ekonomi dan keusahawanan dalam kalangan masyarakat melalui koperasi dengan membuka pelbagai peluang pekerjaan baharu serta peningkatan pendapatan penduduk.

"Terdapat enam sektor ekonomi di bawah PDL ini iaitu penternakan, peruncitan, pertanian, pelancongan, perkhidmatan dan pembuatan manakala kumpulan sasaran adalah masyarakat luar bandar khususnya belia dan ketua isi rumah.

"Koperasi kampung pula berperanan menjadi ejen pembangunan ekonomi di peringkat kampung. Koperasi juga bertanggungjawab merancang dan melaksanakan projek yang akan memlibatkan ahli atau pekerja dari kalangan penduduk kampung terbabit," katanya.

Mengulas mengenai kriteria pemilihan kampung, Ramlan berkata, terdapat lapan kriteria pemilihan kampung yang ingin menyertai PDL dan kriteria utama adalah kampung terbabit ditadbir oleh Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK) serta berpotensi.

Selain itu, katanya, kampung terbabit perlu mempunyai sumber semula jadi untuk dibangunkan, sudah mempunyai produk yang boleh diketengahkan serta mempunyai kepimpinan yang mampu merancang dan melaksanakan aktiviti pembangunan.

"Pihak kementerian mahu program ini disertai oleh belia. Oleh itu, kriteria lain adalah sekurang-kurangnya 30 peratus kumpulan belia masih tinggal dan aktif di kampung itu," katanya.

Ramlan berkata, dalam pemilihan itu pihaknya mengambil kira kesediaan kampung atau penduduknya menyambut baik PDL kerana kementerian tidak mahu kampung dipilih tidak memberikan sepenuh sokongan.

"Keutamaan juga diberikan kepada kampung yang mempunyai koperasi sebagai penggerak ekonomi setempat serta aktif dan mematuhi Akta Koperasi 1993.

"Kriteria seterusnya adalah kita memberikan kelebihan kepada kampung yang sudah mendapat pengiktirafan di peringkat kebangsaan atau negeri bagi tempoh lima tahun ke belakang," katanya.

Menurutnya, selepas sembilan tahun dilaksanakan, setakat ini PDL berjalan baik walaupun baru-baru ini pelaksanaan aktiviti agak perlahan akibat pandemik Covid-19.

Namun, kata Ramlan, pencapaian program itu sangat memberangsangkan kerana secara umumnya daripada 137 kampung, 54 kampung berjaya meningkatkan pendapatan kampung dengan sekurang-kurangnya lima peratus selepas setahun pelaksanaannya.

"Pada masa ini terdapat 105 koperasi kampung berstatus masih aktif dalam menjalankan projek ekonomi membabitkan lebih 32,000 orang yang menerima manfaat.

"PDL ini juga sudah mewujudkan lebih daripada 4,300 peluang pekerjaan. Lebih membanggakan, beberapa kampung termasuk yang terkini Kampung Batu Puteh di Kinabatangan, Sabah diiktiraf sebagai kampung pelancongan peringkat antarabangsa pada tahun 2021.

"Pengiktirafan itu adalah salah satu kejayaan besar yang kita lihat hasil daripada PDL," katanya.

Selain itu, katanya, banyak juga kampung yang berjaya menjana pendapatan sehingga lebih RM9 juta, sekali gus berjaya mencapai objektif serta meningkatkan pendapatan ahli.

Berkongsi perancangan masa hadapan pula, Ramlan berkata, berdasarkan kepada pencapaian itu pihaknya melihat PDL adalah program yang boleh diteruskan dan memberi manfaat besar kepada rakyat.

Justeru, katanya program itu akan diteruskan selain merancang memajukan 13 lagi kampung terpilih tahun ini.

"Selain itu, kementerian juga akan meneruskan pelbagai program bagi membantu kampung sedia ada dengan melaksanakan lebih banyak kursus, aktiviti, program pemerkasaan dan pemantapan modal insan.

"Kita juga akan membantu usahawan atau koperasi untuk sertai pelbagai program seperti Karnival Usahawan Desa (KUD), Mini KUD, Ekspo pengguna Halal Fiesta Malaysia (HALFEST) Matta Fair, MAHA dan lain-lain.

"Bantuan dari segi hebahan dan publisiti bagi mempromosikan PDL dan program kepimpinan membabitkan aktiviti serta program peningkatan kompetensi pengurusan koperasi juga antara perancangan yang kita akan laksanakan tahun ini," katanya.

Tambahnya, kementerian juga bercadang menjalankan lebih banyak program kerjasama strategik dengan pihak industri dan akademik untuk mengembangkan lagi PDL dan meneroka pelbagai lagi ruang serta melaksanakan projek ekonomi di bawah industri kotej di kampung terpilih.

Ramlan berkata, sasaran PDL tahun ini adalah pemilihan kampung baharu dengan peruntukan sebanyak RM10 juta.

Katanya, melalui pemilihan kampung baharu itu, kementerian bercadang menyasarkan sebanyak 70 peratus daripada jumlah kampung yang dipilih berjaya menjana pendapatan serta mewujudkan peluang pekerjaan baharu yang lebih besar.

"Kementerian juga akan memperkenalkan satu modul pembangunan kampung baharu dikenali sebagai Kampung Sejahtera dan menjadikan Program Desa Lestari sebagai elemen penting yang akan digembeling bersama dalam Kampung Sejahtera," katanya.

Mengulas lanjut, PDL adalah fokus untuk aktiviti ekonomi, sementara Kampung Sejahtera yang akan dilaksanakan itu lebih holistik dari segi persekitaran, pengindahan kampung dan sebagainya.

"Jadi, saya berharap di masa hadapan kita akan dapat wujudkan kampung-kampung yang bukan saja berdaya saing dari segi ekonomi tetapi juga dapat dijadikan tempat untuk masyarakat hidup dengan selesa, aman, sejahtera. Dan akhirnya mencapai sasaran seperti yang sudah gariskan dalam Dasar Pembangunan Luar Bandar yang sepatutnya dicapai dalam tahun 2030.

"Kementerian juga berharap PDL ini akan terus berkembang maju dan menjadi penggerak kepada pembangunan ekonomi di luar bandar.

Saksikan inisiatif Program Desa Lestari dalam Majalah 3 jam 9 malam ini.

RAMLAN
RAMLAN

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 23 Mei 2022 @ 2:14 PM