Noorazura Abdul Rahman


Padang Terap: Kementerian Pembangunan Luar Bandar (KPLB) memperuntukkan RM1.92 juta bagi membantu usahawan luar bandar memulihkan semula perniagaan yang terjejas akibat pandemik Covid-19.

Menteri Pembangunan Luar Bandar, Datuk Seri Mahdzir Khalid berkata peruntukan itu disalurkan menerusi program khas Sokongan Pengukuhan Keusahawanan Luar Bandar (SPKLB).

"SPKLB turut menjadi salah satu inisiatif di bawah Strategi Memperkukuh Program Sokongan Keusahawanan Luar Bandar, Aspirasi Keluarga Malaysia 100 Hari.

"Bermula September lalu, KPLB sudah melaksanakan Program Sokongan SPKLB Re-Start yang bertujuan untuk membantu usahawan luar bandar yang terjejas akibat Covid-19 bagi memulakan semula perniagaan mereka dengan penyediaan geran bantuan dalam bentuk pembelian, pembaikan aset, mesin, peralatan, modal pusingan dan pengubahsuaian premis dengan nilai RM3,000 hingga RM5,000," katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas merasmikan Program Outreach Keusahawanan dan Pendidikan KPLB di Pusat Khidmat Komuniti Padang Kerasak di Naka di sini, hari ini.

Turut hadir, Ketua Setiausaha KPLB, Datuk Ramlan Harun.

Mengulas lanjut, Mahdzir berkata setakat ini sejumlah 400 usahawan luar bandar di seluruh negara sudah menerima manfaat daripada geran program SPKLB.

Katanya, program ini diperkenalkan pada tahun 2019 dengan menyediakan geran penuh kepada usahawan bagi menampung kos operasi dan keperluan modal pusingan bagi meneruskan kelangsungan perniagaan.

"Selain itu, kementerian turut menyediakan latihan kursus yang bersesuaian kepada usahawan luar bandar yang komited mengembangkan perniagaan mereka.

"Ia sekali gus dapat meningkatkan taraf hidup dan ekonomi mereka selain menggalakkan usahawan untuk membangunkan produk dan perkhidmatan yang bernilai tinggi bagi meluaskan pasaran produk mereka," jelas beliau.

Pada majlis yang sama, Mahdzir turut menyempurnakan Simbolik Penyerahan Geran Bantuan SPKLB kepada 400 usahawan di seluruh negara serta menyampaikan bantuan gajet pembelajaran kepada 50 pelajar dan cermin mata kepada 100 pelajar dari keluarga B40.

Turut disampaikan, bantuan wang saku persekolahan kepada 300 pelajar sekitar daerah Padang Terap dan Bantuan Bakti Desa KPLB kepada 204 orang pelajar berjumlah RM204,000.

GAMBAR hiasan. FOTO Arkib NSTP
GAMBAR hiasan. FOTO Arkib NSTP

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 18 Disember 2021 @ 5:57 PM