Ekhwan Haque Fazlul Haque


Bera: Kerajaan mahu memastikan golongan belia mendapat pekerjaan seterusnya meningkatkan taraf hidup menerusi JaminKerja Keluarga Malaysia.

Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, inisiatif JaminKerja Keluarga Malaysia adalah manifestasi komitmen kerajaan dalam menyediakan peluang pekerjaan yang lebih menyeluruh dan menghasilkan pembangunan ekonomi lebih mampan.

Menurutnya, kerajaan melalui Kementerian Sumber Manusia sentiasa memastikan kebajikan pekerja dan majikan termasuk mereka yang terbabit dalam ekonomi baharu seperti Gig yang kini sumber alternatif bagi menjana pendapatan.

"Program kemahiran semula dan penjanaan pendapatan juga diperkenalkan untuk mereka yang kehilangan pekerjaan, apabila syarikat yang menjadi tempat mereka bekerja terpaksa mengurangkan operasi atau ditutup.

"Menerusi Sistem Insurans Pekerjaan ditawarkan Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) seramai 188,526 Keluarga Malaysia menerima manfaat faedah kewangan berjumlah RM1 bilion bagi membantu mereka yang terkesan meneruskan kehidupan harian," katanya ketika berucap dalam Majlis Perasmian Karnival Keluarga Malaysia: Anak Muda Gegor Bera di Dewan Konvensyen Bera, di sini, hari ini.

Turut hadir, Pengerusi Lembaga Perkeso, Datuk Seri Subahan Kamal.

Ismail Sabri berkata, sehingga 28 Oktober lalu sebanyak 65,774 permohonan kerja diterima membabitkan 8,513 majikan.

ISMAIL Sabri (tiga, kanan) beramah mesra dengan pemain E-Sports pada Karnival Anak Muda Gegor Bera di Dewan Konvensyen Bera, hari ini. FOTO Bernama.
ISMAIL Sabri (tiga, kanan) beramah mesra dengan pemain E-Sports pada Karnival Anak Muda Gegor Bera di Dewan Konvensyen Bera, hari ini. FOTO Bernama.

"Kajian Tahap Penerimaan Rakyat Terhadap Kerajaan dan Dasar Keluarga Malaysia yang dilaksanakan Ilham Centre mendapati 82.5 peratus rakyat mahu program JaminKerja diteruskan di masa hadapan.

"Perbadanan Pembangunan Sumber Manusia (HRD Corp) turut memperkenalkan Pusat Penempatan HRD Corp yang menjadi portal sehenti pemadanan latihan kemahiran serta kaunseling dan bimbingan kerjaya kepada 60,000 penempatan pekerjaan," katanya.

Beliau berkata, Inisiatif JaminKerja Keluarga Malaysia menyediakan peluang pekerjaan yang lebih menyeluruh dan menghasilkan pembangunan ekonomi lebih mampan.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 12 November 2022 @ 4:09 PM