PEKERJA melakukan persiapan akhir di KLCC menjelang Sidang Kemuncak ASEAN ke-27.
PEKERJA melakukan persiapan akhir di KLCC menjelang Sidang Kemuncak ASEAN ke-27.
Oleh Hairulazim Mahmud

Kuala Lumpur: Seramai 500 pemimpin muda dari negara anggota ASEAN berpeluang beramah mesra dan berdialog dengan Presiden Amerika Syarikat (AS) Barack Obama pada Sidang Kemuncak Pemimpin Muda ASEAN 2015 (YSEALI 2015), di sini, bermula Khamis ini.

Obama dijadualkan hadir pada sesi penerangan persidangan terbesar pemimpin muda serantau anjuran Inisiatif Pemimpin Asia Tenggara (YSEALI) itu sempena Sidang Kemuncak ASEAN ke-27 dan Sidang Kemuncak Berkaitan mulai 18 hingga 22 November yang akan diadakan di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC), di sini.

Beliau akan berada di ibu kota bagi menghadiri Sidang Kemuncak ASEAN-AS dan Sidang Kemuncak Asia Timur (EAS).

YSEALI ketika ini giat berkempen melalui laman sosial Facebook dan Twitter untuk menarik penyertaan remaja ASEAN bersama-sama gerakan berkenaan berdialog bersama Presiden AS tersebut.

“Sah!! @POTUS (Obama) akan menjadi hos bagi sesi penerangan 500 peserta Sidang Kemuncak #YSEALI minggu depan,” menurut Twitter kumpulan inisiatif itu.

Selain peserta yang hadir, perhimpunan itu juga akan membabitkan delegasi digital atau secara dalam talian.

Mereka turut mengadakan pertandingan soalan terbaik untuk diajukan kepada Obama pada pertemuan itu nanti.

Menurut laman web YSEALI, sidang kemuncak berkenaan adalah antara program terbesar mereka yang menghimpunkan 500 pemimpin muda dari 10 negara anggota ASEAN.

Ia bertujuan mewujudkan rangkaian, mempelajari cabaran serantau selain bekerjasama, sekali gus menyelesaikan permasalahan yang timbul.

Sidang kemuncak itu juga akan mengumpulkan ahli alumni YSEALI dari pelbagai program anjurannya sebelum ini dalam usaha meningkatkan kemahiran peserta ke peringkat lebih tinggi selain menumpukan kepada pembelajaran membangunkan kempen secara dalam talian yang berkesan.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 16 November 2015 @ 4:52 AM