MUHYIDDIN ketika program Sembang Santai Bersama Masyarakat Kampung Panjang Sari. FOTO Essa Abu Yamin
MUHYIDDIN ketika program Sembang Santai Bersama Masyarakat Kampung Panjang Sari. FOTO Essa Abu Yamin
Essa Abu Yamin


Pagoh: Pengerusi Perikatan Nasional (PN) Tan Sri Muhyiddin Yassin menyifatkan calon Barisan Nasional (BN) Sungai Buloh, Khairy Jamaluddin layak memegang jawatan sebagai Perdana Menteri pada masa hadapan.

Penyandang Parlimen Pagoh itu berkata, beliau mengakui Khairy mempunyai kredibiliti yang baik dan kesungguhan melaksanakan tugas sebagai menteri juga dianggap cemerlang.

"Saya fikir mungkin bukan satu cakap kosong. Dia seorang tokoh yang bagus, malah dalam Kabinet saya pun dia antara orang yang dipercayai.

"Dia menguruskan soal Covid-19 dan sebagainya dengan baik, ada masa depan yang baik, cuma dia ada dalam parti yang salah.

"Tapi tak mengapalah, semua orang mempunyai cita-cita untuk jadi apa sekalipun. Tak perlu tanya kenapa kau nak jadi PM? Itu impian dia. Tapi bila masanya?

"Mungkin dia kena ambil alih Umno dan jadi Presiden. Peroleh jumlah kerusi yang banyak serta boleh membentuk kerajaan ketika itu. Ketika ini dia boleh cakap saja, tak salah pun," katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui media pada Program Sembang Santai Bersama Masyarakat di Kampung Panjang Sari, di sini, hari ini.

Terdahulu, Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob mengakui Menteri Kesihatan itu layak menerajui negara pada masa hadapan.

Ismail berkata, langkah pertama adalah Khairy perlu memenangi pilihan raya dan mendapat sokongan majoriti parti terlebih dulu sebelum dilantik memegang jawatan berkenaan.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 9 November 2022 @ 8:16 PM