HAMZAH (dua dari kiri) bersama Ahli Majlis Tertinggi Bersatu, Datuk Seri Ronald Kiandee dan Dr Sahruddin bertemu peniaga ketika Program Ramah Mesra dan Walkabout di pekan Pagoh, hari ini. FOTO HAIRUL ANUAR RAHIM
HAMZAH (dua dari kiri) bersama Ahli Majlis Tertinggi Bersatu, Datuk Seri Ronald Kiandee dan Dr Sahruddin bertemu peniaga ketika Program Ramah Mesra dan Walkabout di pekan Pagoh, hari ini. FOTO HAIRUL ANUAR RAHIM
Suzalina Halid


Pagoh: Calon Menteri Besar (MB) Perikatan Nasional (PN) jika gabungan parti itu berjaya mendapat mandat membentuk kerajaan di Johor, 12 Mac ini, perlu melepasi kriteria tertentu khususnya dalam aspek integriti dan kebolehan pengurusan.

Mengakui sudah mempunyai beberapa senarai calon, Setiausaha Agung PN, Datuk Seri Hamzah Zainudin berkata, Majlis Tertinggi PN sedang menilai pemimpin terbaik yang boleh diangkat sebagai MB sebelum ia diputuskan pucuk pimpinan itu.

Beliau berkata, Majlis Tertinggi PN akan mengadakan mesyuarat, esok untuk meneliti senarai calon berkelayakan sebelum ia diputuskan.

"Buat masa ini kita sedang menilai daripada segi sokongan seluruh calon kita yang ada...kita akan umumkan tak lama lagi apabila keputusan dibuat Majlis Tertinggi PN.

"Kita adakan mesyuarat esok dan selepas itu pastikan siapa yang lebih baik untuk diketengahkan sebagai calon Menteri Besar.

"(Senarai) tak ramai oleh kerana nak memilih jadi Menteri Besar ini mesti melihat dari segi kriteria tertentu, dari segi pengurusan beliau untuk menguruskan negeri ini, pengalaman yang ada dan paling penting soal integriti mereka itu tak boleh dipersoalkan sesiapa," katanya.

Terdahulu, Hamzah yang juga Menteri Dalam Negeri menghadiri program ramah mesra bersama calon PN bagi kerusi Dewan Undangan Negeri (Dun) Bukit Kepong, Datuk Dr Sahruddin Jamal di pekan Pagoh, dekat sini, hari ini.

Dr Sahruddin yang pernah menjadi MB Johor selama 10 bulan ketika pentadbiran Pakatan Harapan (PH) di Johor antara disebut-sebut antara calon bagi jawatan itu.

Pada masa sama, Hamzah berkata, pihaknya mengharapkan tiada lagi kekeliruan prosedur operasi standard (SOP) Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor khususnya membabitkan kebenaran ceramah dalam tempoh memasuki minggu kedua kempen seperti berlaku sebelum ini.

Beliau berkata, sehingga kini pihaknya mendapati laporan diterima membabitkan pelbagai parti yang bukan suatu isu besar kerana kebanyakan kesalahan bersifat tuduhan terhadap parti lain.

"Oleh kerana ada kekeliruan, contohnya pada satu masa ada dikatakan tak boleh ada ceramah di Pusat Daerah Mengundi (PDM) kemudian boleh pula ceramah di PDM, kita selesaikan dan minggu kedua ini diharap tiada lagi mereka yang langgar SOP.

"Menuduh parti lain itu biasa, yang penting bagi saya sesiapa sahaja jadi calon patut mempunyai sikap keterbukaan dari segi menyantuni semua pengundi di seluruh Johor," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 4 Mac 2022 @ 7:29 PM