Muhammad Zulsyamini Sufian Suri


Tapah: Perak membubarkan Dewan Undangan Negeri (Dun) berkuat kuasa hari ini bagi memberi laluan kepada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU- 15).

Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad berkata, pembubaran itu selepas mendapat perkenan Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah.

Katanya, ia selaras dengan Perkara 32(2), Undang-undang Tubuh Kerajaan Negeri Perak.

"Pembubaran bagi membolehkan Pilihan Raya Negeri dilaksanakan serentak dengan Pilihan Raya Umum di peringkat Persekutuan," katanya pada sidang media khas di Pejabat Daerah dan Tanah Batang Padang, di sini hari ini.

Rabu lalu, Saarani dilapor berkata, Sultan Nazrin belum memberi perkenan untuk pembubaran Dun Perak ketika sesi sembah menghadap di Istana Kinta, Ipoh.

Susulan itu, hanya Dun Perak di bawah pentadbiran Barisan Nasional (BN) yang masih belum dibubarkan selepas Dun Pahang dan Perlis mendapat perkenan pada Jumaat.

Sementara itu negeri lain di bawah BN iaitu Dun Melaka, Johor, Sabah dan Sarawak tidak dibubarkan kerana belum mencapai tempoh matang selepas menjalani Pilihan Raya Negeri, baru-baru ini.

SAARANI Mohamad (kiri) pada sidang media mengumumkan pembubaran Dun Perak, hari ini. FOTO L Manimaran.
SAARANI Mohamad (kiri) pada sidang media mengumumkan pembubaran Dun Perak, hari ini. FOTO L Manimaran.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 17 Oktober 2022 @ 9:23 AM