ISMAIL Sabri (tengah) diiringi calon BN Dun Guai, Datuk Sabariah Saidin bersama jentera Wanita BN ketika Program Jom Ngeteh Bersama Rakyat di Bilik Gerakan PDM Felda Kumai, Bera sempena Pilihanraya Umum ke-15. FOTO HAIRUL ANUAR RAHIM
ISMAIL Sabri (tengah) diiringi calon BN Dun Guai, Datuk Sabariah Saidin bersama jentera Wanita BN ketika Program Jom Ngeteh Bersama Rakyat di Bilik Gerakan PDM Felda Kumai, Bera sempena Pilihanraya Umum ke-15. FOTO HAIRUL ANUAR RAHIM
Ekhwan Haque Fazlul Haque


Bera: Pelbagai agenda pembangunan, ekonomi dan pendidikan akan terus dilaksanakan oleh kerajaan kepada warga FELDA di negara ini, kata Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

Perdana Menteri berkata, sokongan yang diberikan warga FELDA kepada dirinya, tidak boleh dinafikan sejak beliau mula menjadi Ahli Parlimen Bera empat penggal lalu.

"Pelbagai agenda pembangunan, ekonomi dan pendidikan akan terus dilaksanakan buat warga Felda.

"Banyak lagi yang saya dan BN akan laksanakan di Felda termasuk pelbagai insentif yang sudah diperkenalkan bagi memastikan warga Felda tidak berasa terpinggir," katanya.

Sementara itu, Ismail Sabri menyifatkan, Pakatan Harapan (PH) bukan kerajaan yang mementingkan agenda dan kepentingan Islam serta Melayu dan Bumiputera.

Katanya, BN adalah sebuah kerajaan yang mementingkan agenda memperkasakan Melayu, Islam tetapi dalam masa sama terus membantu kaum lain.

"Satu undi untuk PH adalah satu undi untuk DAP yang meminggirkan Melayu, Islam dan Bumiputera. Kalau kita yakin DAP akan pertahankan Islam dan orang Melayu, kita silap dan jangan mengundi PH.

"Kita harus memastikan BN kembali memerintah dan agenda memperkasakan semua kaum akan dikekalkan," katanya ketika ditemui dalam Program Jom Ngeteh bersama warga Felda Kumai, di sini, hari ini.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 7 November 2022 @ 5:41 PM