MOHD Zin Mahat (tengah) bersama penduduk Taman Bukit Angkasa lain bekerjasama memansang bendera.  FOTO Redzuan Muharam
MOHD Zin Mahat (tengah) bersama penduduk Taman Bukit Angkasa lain bekerjasama memansang bendera. FOTO Redzuan Muharam
Redzuan Muharam


Kuala Lumpur: Biarpun sudah berusia lebih setengah abad, sekumpulan warga emas yang juga penduduk Taman Bukit Angkasa, Lembah Pantai, di sini gigih mengerah keringat membantu parti keramat mereka, Barisan Nasional (BN) dalam Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15).

Tinjauan mendapati mereka berkumpul dan bekerjasama menyiapkan kerja pemasangan bendera parti.

Ibu empat anak, Zailela Khaidzir, 58, berkata, dia mula terbabit dengan gerak kerja PRU sejak 1985 dan melakukannya kerana minat serta semangat cintakan kepada parti juga negara.

"Selepas penamaan calon, saya sudah terbabit dalam gerak kerja dekat khemah parti.

"Tugasan sudah diagihkan dengan lelaki panjat pasang bendera dan wanita pula ditugaskan pasang klip.

"Bagi saya, sumbangan untuk parti bukan hanya boleh diberi dalam bentuk duit tetapi juga tenaga," katanya yang juga penyokong tegar BN.

Sementara itu, pesara, Mohd Zin Mahat, 67, yang juga Ketua Cawangan Umno Taman Bukit Angkasa berkata, gerak kerja pemasangan bendera sudah diatur sejak tiga hari lalu.

"Selepas penamaan calon, baru kita mulakan kerja pemasangan bendera.

"Di sini saja, ada 10 orang terbabit dan mereka terdiri daripada penduduk Flat Taman Bukit Angkasa dan juga penyokong BN," katanya.

Empat calon akan bertanding bagi merebut kerusi Parlimen Lembah Pantai pada PRU-15.

Mereka adalah calon Pakatan Harapan (PH), Ahmad Fahmi Mohamed Fadzil, yang juga penyandang kerusi berkenaan, Datuk Ramlan Askolani (Barisan Nasional (BN), Fauzi Abu Bakar (Perikatan Nasional (PN) dan Dr Noor Asmah Mohd Razalli (Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang).

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 7 November 2022 @ 12:24 PM