Nurul Amanina Suhaini


Johor Bahru: Ahli Parlimen Muar, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman tiba di Mahkamah Sesyen di sini, pagi ini, dan dijangka berdepan satu lagi pertuduhan.

Beliau yang juga bekas Menteri Belia dan Sukan jam 8.58 pagi dengan diiringi peguamnya, Gobind Singh Deo.

Syed Saddiq yang kini ialah Presiden Penaja Parti Ikatan Demokratik (Muda), sebelum ini memegang jawatan Ketua Angkatan Bersatu Anak Muda (Armada) Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu).

Terdahulu, beberapa individu dipercayai penyokong dan ahli keluarga Syed Saddiq termasuk ibu bapanya, Syed Abdul Rahman Syed Abdullah Al-Sagoff dan Sharifah Mahani Syed Abdul Aziz dilihat hadir di lobi mahkamah.

SYED Saddiq Syed Abdul Rahman. FOTO Nur Aisyah Mazalan
SYED Saddiq Syed Abdul Rahman. FOTO Nur Aisyah Mazalan

Sebelum ini beliau dihadapkan ke Mahkamah Seksyen, Kuala Lumpur pada 22 Julai lalu atas tuduhan pecah amanah dana Angkatan Bersatu Anak Muda (Armada) berjumlah RM1 juta pada tahun lalu.

Selain itu, beliau berhadapan tuduhan menyalah guna harta iaitu wang sumbangan untuk kempen Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) sebanyak RM120,000.

Syed Saddiq, 29, bagaimanapun mengaku tidak bersalah selepas kedua-dua tuduhan itu yang dibacakan berasingan di hadapan Hakim Azura Alwi.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 5 Ogos 2021 @ 9:45 AM