NORAZAM. FOTO arkib NSTP
NORAZAM. FOTO arkib NSTP
Hafidzul Hilmi Mohd Noor


Kuala Lumpur: Sebanyak 23 lokasi di daerah Hulu Langat dan Klang diletakkan sebagai kawasan bahaya serta dijangka berisiko banjir ketika Monsun Timur Laut.

Pengarah Bomba Selangor, Norazam Khamis berkata, terdapat sembilan daerah di negeri ini yang dikelaskan bergantung kepada situasi semasa monsun nanti.

Menurutnya, Sabak Bernam dan Hulu Selangor dikategorikan sebagai kurang risiko manakala Kuala Selangor, Petaling, Kuala Langat, Gombak dan Sepang adalah risiko sederhana.

"Daerah Hulu Langat dan Klang diletakkan sebagai berisiko banjir yang mana terdapat 113 kawasan berisiko dan 23 lokasi hotspot banjir.

"Sebanyak 249 pusat pemindahan sementara (PPS) akan ditetapkan di dua daerah ini iaitu 188 di Klang dan 61 di Hulu Langat," katanya.

Norazam berkata, bomba Selangor turut bersedia dengan 72 bot pelbagai jenis termasuklah bot fiber dan bot aluminium selain bot penyelamat.

Katanya, seramai 1,742 anggota bomba akan ditempatkan sepanjang tempoh Monsun Timur Laut ini.

"Turut terbabit adalah bantuan 4,130 anggota bomba komuniti serta 700 anggota bomba sukarela.

"Penugasan sepanjang tempoh ini turut dilengkapi dengan persediaan peralatan antaranya mesin gergaji rantai, jaket keselamatan, lampu suluh serta kasut but," katanya.

Katanya, orang awam diminta untuk segera memberi maklumat penting kepada agensi keselamatan berkenaan sebarang keadaan banjir dan kawasan berisiko.

"Ibu bapa juga diingatkan untuk memantau anak terutamanya sekiranya situasi mula berbahaya. Segera berpindah ke PPS selepas keadaan tidak selamat," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 6 November 2022 @ 2:29 PM