Anggota bomba membantu mangsa banjir di Kuala Kubu Baru hari ini. Foto Ihsan JBPM
Anggota bomba membantu mangsa banjir di Kuala Kubu Baru hari ini. Foto Ihsan JBPM
Hafidzul Hilmi Mohd Noor

Kuala Kubu Bharu: Seramai 190 mangsa banjir di empat buah kampung di daerah ini dipindahkan ke pusat penempatan sementara (PPS) di Dewan Orang Ramai Kampung Sungai Selisek di sini.

Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Selangor Norazam Khamis berkata, kesemua mereka adalah dari Kampung Sekolah, Kampung Masjid, Kampung Paya Lebar dan Kampung Sungai Nilam.

"Pihak bomba menerima panggilan kecemasan pada 4 petang berhubung air melimpah di kampung berkenaan.

"Pada 5.11 petang, pasukan penyelamat dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kuala Kubu Bharu dengan kekuatan 10 anggota tiba di kampung terbabit untuk memindahkan mangsa," katanya dalam satu kenyataan.

Norazam berkata, satu jentera Unit Bantuan Perkhidmatan Kecemasan (EMRS), pacuan empat roda dan bot penyelamat dihantar ke lokasi.

"Seramai 190 mangsa dipindahkan ke PPS di Dewan Orang Ramai Kampung Sungai Selisek.

"Ada juga mangsa yang sudah berpindah sendiri ke rumah saudara terdekat mereka," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 3 January 2021 @ 10:01 PM