NUR Haza akan menyediakan 15 hingga 20 air balang dalam satu-satu majlis. FOTO Ihsan Nur Haza Mazlin Razali
NUR Haza akan menyediakan 15 hingga 20 air balang dalam satu-satu majlis. FOTO Ihsan Nur Haza Mazlin Razali
Redzuan Muharam

Kuantan: Bukan dua atau tiga, malah Nur Haza Mazlin Razali pernah menyediakan sehingga 20 balang pelbagai jenis minuman berperisa buat tetamu dalam satu-satu majlis.

Nur Haza Mazlin, 40, yang juga katerer berkata, idea mengambil tempahan dan menyediakan puluhan air balang itu tercetus selepas melihat seorang kenalan melakukannya.

"Ketika mula jalankan perusahaan katering tujuh tahun lalu, seorang abang angkat saya melakukan perkara sama dan saya belajar daripadanya.

"Berdasarkan pengalaman saya, ia bukan hanya memudahkan tetamu yang datang untuk mengambil minuman tetapi membolehkan saya dan pekerja tumpukan pada kerja lain.

"Sekurang-kurangnya, kami tidak kelam-kabut jika minuman habis kerana ada banyak balang air tersedia," katanya dihubungi Harian Metro.

Kebiasaannya, Nur Haza Mazlin akan menyediakan 15 hingga 20 air balang dalam satu-satu majlis.

"Jumlah balang bergantung kepada bilangan jemputan. Setiap balang boleh diminum oleh 100 tetamu dan bermacam jenis minuman tersedia.

"Antara minuman yang cepat habis adalah teh hijau dan limau soda tetapi banyak lagi pilihan lain seperti bandung, jagung, oren serta kopi," katanya yang mendapat bantuan kakitangan juga cef, Mohd Saleh Yusof untuk menyediakan minuman.

Katanya, bukan hanya minuman malah dia turut menyediakan pelbagai jenis ulam, sambal dan pencuci mulut termasuk di restorannya dekat Bukit Setongkol di sini.

Ibu tiga anak itu berkata, ia bertujuan memberi banyak pilihan dan kepuasan kepada mereka yang menjamu selera.

Berhubung video air balang yang mendapat perhatian di TikTok, Nur Haza Mazlin berkata, ia dimuat naik kakitangannya, Khalid Saidin, 29.

"Dia (Khalid Saidin) memang rajin bantu muat naik video makanan serta minuman disediakan buat tetamu dalam TikTok.

"Daripada perkongsian itu, ramai juga pengantin dan bakal pengantin berkongsi pengalaman mereka.

"Terima kasih buat semua yang menyokong saya daripada awal hingga kini," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 6 November 2022 @ 7:01 AM