CHE Abdullah. FOTO arkib NSTP
CHE Abdullah. FOTO arkib NSTP
Nor Fazlina Abdul Rahim


Kota Bharu: Penyandang Parlimen Tumpat, Datuk Che Abdullah Mat Nawi tetap akan bertanding di Parlimen Tumpat menggunakan tiket Barisan Nasional (BN) pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15).

Sumber berkata, BN Kelantan memberi laluan kepada Che Abdullah memandangkan beliau digugurkan daripada calon Perikatan Nasional (PN) sebagaimana yang diumumkan malam tadi.

"Alhamdulillah urusan mengisi borang untuk pencalonan sudah selesai dilakukan hari ini.

"Untuk maklumat lebih lanjut, tunggu kemunculannya pada Sabtu ini iaitu hari penamaan calon," katanya ketika dihubungi.

Terdahulu, pada Majlis Pengisytiharan Calon PN Kelantan malam tadi, penyandang Parlimen Bachok, Nik Mohamad Abduh Nik Abdul Aziz dan Che Abdullah digugurkan.

Pengerusi PN Kelantan, Datuk Ahmad Yakob berkata, Parlimen Bachok menyaksikan PN meletakkan muka baru, Muhamad Shahir Che Sulaiman sebagai calon.

Manakala, bagi kerusi Parlimen Tumpat, PN mengumumkan Exco Kebajikan, Pembangunan Keluarga dan Wanita Negeri Kelantan, Datuk Mumtaz Md Nawi sebagai calon di kerusi berkenaan.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 3 November 2022 @ 11:45 AM