Nazdy Harun


Kuala Nerus: "Kita bukan minta jeti yang harganya berjuta ringgit, cuma baiki jeti sedia ada sahaja," kata Pengerusi Persatuan Pemandu Bot Penambang Seberang Takir (PPBPST) Muhamad Ismail, 75.

Menurutnya, Jeti Bot Penambang Seberang Takir rosak sejak November 2021 dan paling ketara selepas banjir Februari lalu, terutama pelantarnya.

Katanya, jeti itu perlu dibaiki segera bagi mengelak kejadian tidak diingini dan menjamin keselamatan, termasuk dengan meletakkan pagar di sekeliling pelantar dan laluan turun naik.

"Dengan keadaan sekarang, malu rasanya terutama apabila pengunjung luar datang untuk merasai pengalaman menaiki bot ke Kampung Seberang Takir dan pulang semula ke jeti dekat Pasar Besar Kedai Payang (PBKP).

"Tambah pula sekarang apabila musim cuti saja, ramai pengunjung datang dan salah satu lokasi yang mereka tuju adalah PBKP.

"Apabila mereka melihat ada perkhidmatan bot penambang (di PBKP) mereka akan mencubanya untuk merasai pengalaman menaiki bot ini," katanya ketika ditemui hari ini.

KEADAAN Jeti Bot Penambang Seberang Takir yang berisiko kepada penumpang. FOTO Nazdy Harun.
KEADAAN Jeti Bot Penambang Seberang Takir yang berisiko kepada penumpang. FOTO Nazdy Harun.

Muhamad berkata, penambahbaikan jeti itu juga perlu untuk disesuaikan dengan inisiatif kerajaan menjadikan Terengganu sebagai negeri kaya produk pelancongan.

Katanya, ketika ini, persatuan itu mempunyai 10 bot yang masih beroperasi untuk membawa penumpang menyusuri Sungai Terengganu.

Sementara itu, Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan dan Teknologi Digital negeri, Ariffin Deraman berkata, pihaknya maklum mengenai masalah itu dan tindakan susulan akan diambil.

"Kita sudah lihat jeti yang digunakan pengusaha bot penambang dan langkah sewajarnya akan diambil," katanya yang memberitahu permasalahan dihadapi pengusaha pelancongan sentiasa diambil berat dan cuba diatasi segera.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 7 Jun 2022 @ 12:27 PM